ADAKAH ADU MENGADU KE HEAD OFFICE, BANK NEGARA DAN LAIN LAIN ADA MANFAATNYA? 1 Comment


 
ASSALAMULAIKUM. HARI NI KITA CERITA BAB MENGADU. MASA KECIK KECIK KITA MENGADU DENGAN MAK, AYAH DAN JUGA CIKGU SURUH DIAORANG “TENGOK” ORANG YANG “BUAT KITA”. ADA ORANG KATA JANGAN CEREWET SANGAT. SIKIT SIKIT NAK MENGADU SIKIT SIKIT NAK MENGADU TAPI KALAU DAH MENGGANGGU KETENTERAM JIWA DAN RASA TIDAK DIPERLAKU DENGAN ADIL, ADUKANLAH SUPAYA DAPAT PEMBELAAN DAN TIDAK TERJADI KEPADA ORANG LAIN.
 
KISAH YANG DIKONGSIKAN ADALAH TENTANG PENTINGNYA MEMBUAT PENGADUAN KEPADA PIHAK YANG BERTANGGUNGJAWAB TENTANG KETIDAKADILAN YANG TELAH BERLAKU. KALAU RASA CAWANGAN BANK TIDAK BERLAKU ADIL, BOLEH ADUKAN KEBAHAGIAN HAL EHWAL KORPORAT DAN PENGGUNA, BANK NEGARA DAN JUGA KPDNKK JIKA IA JUGA MENGAITKAN PELANGGARAN SYARAT DAN PERUNTUKAN DALAM AKTA SEWA BELI.
 
NAK ADUKAN KE PERSATUAN PENGGUNA SEPERTI PPIM DAN PUSAT KHIDMAT ADUAN PENGGUNA NASIONAL (NCCC) PUN BOLEH. YANG PENTING KEADILAN PERLU DITEGAKKAN WALAUPUN KITA YANG BERHUTANG. JANGAN JADI MANGSA “BULI” KAKITANGAN YANG TER”OVER” “EFFICIENT” SAMPAI TAK PAKAI COMMON SENSE ATAU TAK MENGAKU KESILAPAN YANG MUNGKIN TELAH DIBUAT DAN MEMAKSA PELANGGAN UNTUK MENANGGUNG KESALAHAN TERSEBUT.

 
Kisah ini saya pernah siarkan di FB Page saya https://www.facebook.com/ceritahutang/ satu ketika dahulu. Saya kongsikan sekali lagi disini. Satu perkongsian menarik berkenaan hutang Bank. Kadang kadang kita kena pergi sampai “keatas” hieraki atau bahagian tertinggi diBank kerana kadang kadang pegawai atau pengurus dicawangan yang “lebih lebih” atau tidak pasti untuk membuat keputusan setelah berlaku kesilapan dipihak mereka. Ikuti soal jawab ini. Semuga menjadi panduan dan tauladan…

 

SOALAN

 
Salam Tuan,

Tahun lepas iaitu pada akhir bulan November saya menerima surat tuntutan saman bertarikh 4 November kerana mempunyai tunggakan pinjaman persendirian sebanyak 4 bulan. Memandangkan saya mempunyai masalah kewangan pada masa itu, saya tangguhkan pembayaran tersebut sehingga 19 Disember 2014. Pada 19 Disember 2014 saya telah membayar bayaran penuh tunggakan seperti yang tertera dalam surat tuntutan saman yang bertarikh 4 November 2014.
 
Tiba-tiba pada hari ini, saya menerima surat Writ Saman bertarikh 15 Januari 2015 merujuk kepada tunggakan saya sebanyak RM1,013 dalam surat tuntutan saman bertarikh 4 November 2014. Padahal saya sudah membayar kesemua tunggakan tersebut pada 19 Disember 2014. Apabila saya menghubungi pihak bank, mereka sendiri tidak tahu kenapa saman saya masih diteruskan sedangkan saya sudah membuat bayaran tunggakan tersebut jadi mereka merujuk saya kepada bahagian kutipan. Bila saya bercakap dengan pegawai di bahagian kutipan, dia memberi alasan yang saya tidak membayar kesemua baki hutang yang masih belum dijelaskan iaitu RM3,200 as at 4 November 2014. Sebab itu lah dia tidak mahu menarik balik saman tersebut dan menyuruh saya ke mahkamah seperti tarikh yang ditetapkan iaitu pada Bulan Februari. Apabila saya memberitahu dia yang surat tuntutan saman itu menyuruh saya membayar tunggakan sebanyak RM1,013 bukannya RM3,200 dan saya sudah membayar tunggakan tersebut pada 19 Disember 2014.
 
Apabila dia memeriksa akaun saya, dia mengakui yang saya telah membayar tunggakan tersebut pada 19 Disember 2014 tapi dia berkeras menyuruh saya membayar kesemua baki hutang tersebut yang berjumlah RM3,200 barulah kononnya BANK RAPTOR akan menarik balik writ saman tu dan saya tidak perlu ke mahkamah. Bila sekali lagi saya mengingatkan dia yang surat Writ Saman itu tidak mempunyai klausa yang menyuruh saya membayar kesemua baki hutang itu sebaliknya saya akan diminta membayar kesemua baki hutang itu jika saya masih lagi enggan membayar tunggakan berjumlah RM1,013 seperti yang tertera dalam surat tuntutan saman bertarikh 4 November 2014. Isunya sekarang, saya sudah membayar tunggakan itu pada 19 Disember 2015.
 
Tidak puas hati dengan penjelasan Pegawai bahagian collection bank tersebut, saya cuba menghubungi National Consumer Complaints Centre untuk meminta nasihat. Setelah mendengar penjelasan saya, Santosh, salah seorang pegawai di NCCC itu merumuskan yang mungkin pegawai di bahagian collection bank tersebut lupa untuk mengemaskini maklumat tersebut dengan legal firm itu. Saya cuba menghubungi legal firm itu tapi person in charge utk kes saya sedang bercuti,

 

JAWAPAN ABU AMMAR

 
Cik/Puan HAPIPAH

Pada hemat saya pihak Bank tidak memaklumkan kepada pihak Peguam tentang akaun yang telah dikemaskini pada 19hb Disember 2014. Pihak Tuan Lawyer pulak terus memfailkan saman mungkin melalui “e-filing” maklumlah pada zaman serba canggih ni semua nak ber”e” “e” sahaja. Masalahnya ialah jumlah hutang yang difailkan sudah tidak sama kerana adanya bayaran walaupun mungkin ada klausa yang membolehkan tindakan diteruskan “without prejudice” atau “tanpa prasangka” terhadap apa jua bayaran yang telah dibuat.
 
Namun begitu dalam kehidupan normal yang berasaskan fikiran yang waras atau “common sense”, tindakan undang undang sepatutnya dihentikan apabila bayaran dibuat. Lainlah kalau polisi BANK RAPTOR ialah “sekali tertunggak, kena bayar habis” atau “sekali tara bayar kalo, semua kasi hantam” (versi lebih brutal) yang saya rasa bukan yang sedemikian kalau kita mengadu kepada bahagian korporat mereka kerana mereka adalah “Bank untuk Rakyat”. Mereka siap bagi pinjaman pada mangsa banjir lagi. Begitulah “prihatin”nya mereka. Tapi kalau mangsa banjir tahu tentang “polisi” ni, memang ramai yang akan lari tak cukup tanah.
 
Pada saya ia lebih kepada pegawai yang “terlepas pandang” untuk mengemaskini maklumat kepada pihak Tuan lawyer kerana ini biasa berlaku dan untuk “cover line” kesilapannya, terus suruh kita bayar semua. Sama macam ungkapan “Cik/Puan tadi:
 
“Apabila saya menghubungi pihak bank, mereka sendiri tidak tahu kenapa saman saya masih diteruskan sedangkan saya sudah membuat bayaran tunggakan tersebut jadi mereka merujuk saya kepada bahagian kutipan”
 
Ini adalah jawapan klasik yang bermaksud “Saya bersimpati dengan Cik/Puan (ikhlas atau tidak ikhlas dia saja yang tahu) akan tetapi ini bukan kerja saya jadi kena rujuk kepada bahagian collection”
 
Saya cadangkan ada beberapa perkara yang Cik/Puan perlu buat:

  • 1) Pergi berjumpa dengan “Branch Manager” atau pegawai atasan kepada pegawai collection yang Cik/Puan jumpa sebelum ini. Relax dan cool, tak payah marah marah. Buat surat aduan rasmi dan tuliskan kronologi apa yang berlaku. Buat salinan pendua kepada Bank Negara, Persatuan Pengguna, Bahagian Korporat BANK RAPTOR, Harian Metro (Harian Metro kalau buat Tajuk Berita memang “power” Contoh: “Bank Kerjasama RAPTOR” atau Bank Kerjakan Rakyat?” – contoh la) dan juga kepada Tok Penghulu kalau Cik/Puan mahu. The point is, let as many people know about this.
  •  

  • 2) Hutang tinggal RM3,000 lebih aje lagi? Termasuk tunggakan ke atau itu full balance? Minta statement of Account daripada Bank tentang baki terkini hutang. Ini akan digunakan jika perlu ke Mahkamah nanti.
  •  

  • 3) Buat e-filing Notis Kehadiran untuk tarikh “sebutan” pada bulan depan. Ini untuk “play safe”. Manalah tahu Branch Manager pun “sama kepala” dengan pegawai untuk meminta baki yang “tiga juta” tu walhal ada tokoh korporat siap bagi “halal” lagi interest.
  •  

  • 4) Contact Tuan Lawyer Bank tu dan sertakan surat rasmi bahawa anda telahpun membuat bayaran dengan salinan resit bayaran. Sertakan juga salinan e-filing Notis Kehadiran jika ada dan jika ia sampai ketahap itu apabila langkah (1) tidak berjaya.
  •  
    Diharap Cik/Puan dapat menyelesaikan masalah ini yang sebenarnya “straight forward” aje. Jangan biarkan Bank membuli anda. Opps! Jangan biarkan pegawai Bank membuli anda atas kesilapan yang mereka lakukan. Selamat berjaya!

     

    MAKLUMBALAS PUAN HAPIPAH

    Sebenarnya saya baru je call Lawyer yg in charge utk tuntutan saman tu. Saya nak tergelak bercampur marah sebab jawapan dia macam bukan lawyer. Hahahaha! Bila saya tanya dia kenapa saya masih dapat surat Writ saman tu pada 15 Januari 2015 sedangkan saya dah bayar semua jumlah tertunggak yang diminta setakat 4 November 2014 berjumlah RM1,013 tu pada 19 Disember 2014, dia memberitahu saya yang pegawai BANK RAPTOR ada menghubungi dia berkenaan dengan perkara tu. Tapi disebabkan dia tak jawab soalan saya, saya tanya lagi sekali kenapa dia masih menghantar writ saman tu sedangkan saya dah bayar tunggakan tu. Lawyer tu cakap dengan suara cemas yang surat yang saya dapat pada 15 Januari 2014 sebab saya masih ada tunggakan untuk bulan Januari. So, saya cakap dengan dia, kalau ikut common sense writ saman itu merujuk kepada surat tuntutan saman pada 5 November 2014 di mana ia memberitahu tuntutan plaintif adalah untuk jumlah tunggakan dikira setakat 4 November 2014 dan bukannya tunggakan sehingga Januari 2015.

    Bila saya dah bayar bermakna jumlah baki pinjaman saya dah tentu berkurang (sebenarnya saya dah check dengan B.Rakyat pagi tadi, jumlah saya tinggal RM2,000 sahaja selepas saya dah bayar tunggakan pada 19 Disember 2014 tu). Bila saya cakap macam tu peguam tu dah bengang, dia cakap..”eh! kalau macm tu awak bagitau la BANK RAPTOR, kenapa bagitau saya? saya ikut je kalau BANK RAPTOR suruh teruskan saman, saya teruskan..kalau diaorang suruh saya tarik balik, saya tarik balik saman tu. Lagipun siapa suruh awak tak bayar ansuran ikut time? ” So, saya jawab, “Kalau macam tu, saya tak payah deal dengan Legal firm la kan? Saya terus deal dengan BANK RAPTOR la macam tu sebab you all ni ikut je cakap Bank kan..kalau suruh buat..buat, kalau suruh tarik, you all tarik…” then Peguam tu jawab, “Ya betul..kami ikut je”. Bila saya dengar je peguam tu jawab macam tu, saya fikir dalam hati, macam ni rupanya jabatan guaman swasta yang bersepah macam cendawan.

    Buat kerja ikut je arahan membabi buta, tanpa menggunakan akal yang waras untuk berfikir. Dia ingat saya memang sengaja ke tak nak bayar ansuran tu, sebab saya ada masalah la saya tak bayar..itu yg saya bayar lump sum bulan 12 tu. Lagi satu, bila saya cakap saya dah bayar 19 Disember 2014, dia macam keliru..sebab surat tu dia keluarkan 15 Januari 2015. Bila saya agah dia cakap, BANK RAPTOR tak update you all ke, cepat-cepat dia jawab “Eh! Tak!!! Bukan macam tu…awak kena faham macamana prosedur…terus dia cakap benda tak masuk akal, yg sebab saya ada tunggakan untuk Januari 2015. Sedangkan bulan Januari pun belum habis lagi, saya kena tunggu gaji masuk la baru saya bayar utk Januari..huhuhuhu….

     

    JAWAPAN ABU AMMAR

    Terima kasih kerana feedback untuk “cerita kelakar” ni. Inilah masalahnya, ke”sungguhan” untuk mengutip hutang “2 juta” mengatasi “common sense”. Kalau kes ini dibawa ke Mahkamah, memang kena “belasah” lah jawabnya. Ada satu kes baru baru ni, Bank dah Tuan Lawyer dah tahu kawan tu dah Bankrap pergi saman lagi. Memang kena “kau kau” dengan Tuan Hakim. Macam macam punya “pesen”. Whatever it is, stand up for your rights!

     

    MAKLUMBALAS PUAN HAPIPAH

    Thank you so much, En Abu Ammar. Sangat-sangat berterima kasih dengan bantuan nasihat Encik tu. Semoga Encik akan dilimpahi rahmat dan rezeki yang melimpah ruah kerana membantu kami yang tidak mampu untuk meminta bantuan nasihat dari pihak peguam sendiri 🙂

    En Abu Ammar, Assalamualaikum. Saya baru mendapat e-mail jawapan daripada Pegawai yang sama yang bercakap dengan saya melalui telefon walaupun saya menghantar e-mail aduan ke BANK RAPTOR. Jawapan yang saya terima sangat lah mendukacitakan kerana dia tetap berkeras agar saya membayar kesemua jumlah baki pembiayaan dan juga kos saman, jika tidak saya harus ke mahkamah.

    Namun begitu, saya telah menghantar e-mail aduan ke pihak atasan semalam dan juga salinan kepada mereka yang En Abu Ammar cadangkan. Harap saya dapat balasan dari mereka hari ini..huhuhu

     

    JAWAPAN ABU AMMAR

    Wa’alakumussalam

    Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, besar kemungkinan Bank telah menfailkan saman untuk meminta penyelesaian penuh kepada jumlah terhutang “tanpa prasangka” atau “without predudice” kepada apa jua bayaran yang mungkin diterima. Ini mungkin adalah polisi Bank yang baru memandangkan ekonomi sudah semakin gawat atau “sudah terlanjur” menyaman dan memandangkan balance tak banyak jadi adalah lebih baik suruh settle sahaja sekali dengan kos Tuan Lawyer. Kalau tidak payah nak settle kos Tuan Lawyer kemudian kalau dibenarkan menyambung instalment seperti biasa.

    Ini adalah hak Bank seperti yang termaktub didalam perjanjian walaupun dari segi budi bicara sepatutnya kelonggaran diberikan atas alasan yang sama iaitu masalah ekonomi yang semakin gawat. Walaubagaimanapun, Cik/Puan kenalah failkan Notis Kehadiran melalui “e-filing” di Mahkamah terdekat dengan membawa segala dokumen dan resit dan jangan lupa untuk memberi salinan Notis ini kepada Bank dan Peguam.

    Bila sampai hari sebutan nanti, minta kepada Majistret/Tuan Hakim untuk tempoh lanjutan untuk perbincangan lanjut dengan pihak Bank kerana sebahagian besar bayaran telah dibuat dan jumlah baki yang agak kecil dan jumlah tuntutan sudah berubah dari tuntutan yang asal. Itupun kalau Cik/Puan nak lawan dari segi menegakkan hak dan prinsip. Memanglah leceh sebab banyak masa terbuang dari segi masa menunggu. Tapi dari segi perjanjian Bank ada hak berbuat demikian. Cuma saya rasa tidak sepatutnya begitu memandangkan situasi ekonomi yang tidak baik sekarang ini. “Hoping for the best but expecting the worst”. Semuga berjaya

     

    MAKLUMBALAS PUAN HAPIPAH

    Assalamualaikum En Abu Ammar. Syukur Alhamdulillah! Selepas saya menghantar e-mail kepada Ketua Komunikasi Korporat BANK RAPTOR, cc kepada KDNK kerana BANK RAPTOR adalah di bawah KDNK dan juga Bank Negara. Malah saya mendapat cc dari Bank Negara kepada Ketua Komunikasi Korporat BANK RAPTOR untuk mereka membalas e-mail aduan saya dalam masa 2 minggu. Hari ini saya mendapat khabar baik dari orang sama yang berkeras dengan tuntutan saman tu mengatakan yang saya dah tak payah bimbang pasal tuntutan saman tu sebab dia dah tarik balik dan saya tak payah bayar apa-apa bil guaman seperti yang dia pernah minta saya bayar sebelum ini walaupun saya membuat rayuan dengan pegawai tu. Thank you so much, En Abu Ammar di atas segala nasihat yang diberikan. Syukur Alhamdulillah saya tak perlu bayar-bayar apa-apa bil guaman! Jumlah bil guaman sebanyak RM400 lebih tu bukan sedikit malah saya boleh bayar 2 bulan bayaran bulanan pinjaman saya dengan jumlah sebanyak itu.

     

    JAWAPAN ABU AMMAR

    Alhamdulillah Wa Shukrulillah. Kadang kadang kena buat macam ni baru “jalan” atau “baru ada akai”. Diaorang mesti nak jaga imej punya. Pegawai yang “berkeras” sudah jadi “berlembut”. Semuga menjadi pengajaran kepada yang terbabit. Sama sama.

     

    MAKLUMBALAS PUAN HAPIPAH

    Ya! Yang penting jangan dibiarkan kita dibuli mereka kerana kita ada hak! Semoga mereka yang mempunyai masalah seperti saya akan melakukan perkara yang sama jika dibuli.


Leave a Reply / Masukkan Komen Anda

One thought on “ADAKAH ADU MENGADU KE HEAD OFFICE, BANK NEGARA DAN LAIN LAIN ADA MANFAATNYA?