PENGAKUAN/CONFESSION PEMBACA YANG HAMPIR DIBANKRAPKAN ATAS KESILAPAN BANK


PENGAKUAN/CONFESSION PEMBACA. MIMPI NGERI HAMPIR DIBANKRAPKAN OLEH BANK ATAS KESILAPAN BANK SENDIRI

 

Assalamualaikum. Kali ini kita kongsikan pulak satu pengalaman dari seorang pembaca Page FB https://www.facebook.com/ceritahutang/ dan Blog http://www.ceritahutangbankdananda.com/ yang hampir diBankrapkan oleh Bank bukan atas salah beliau sepenuhnya tetapi atas kesilapan Bank sendiri dan ikuti kegigihan beliau mempertahankan diri beliau di Mahkamah setelah hampir satu tahun yang akhirnya kemenangan berpihak kepada beliau apabila dilepaskan oleh Mahkamah. Ikuti kisah beliau supaya boleh menjadi panduan bagi mereka yang mempunyai masalah yang sama.

 

Assalamualaikum..

Berikut adalah kronologi kes saya berkenaan kes keBankrapan yang saya lalui di Mahkamah Tinggi dari tahun 2015 hingga penghujung 2016 dan Bank menarik balik kes. Saya harap agar perkongsian saya ini memberi manfaat dan membuka mata kepada semua yang menerima nasib yang sama seperti saya.

 

PERMOHONAN PEMBIAYAAN PERIBADI ISLAMIC.

Pada tahun Mac 2011, saya telah membuat pinjaman peribadi Islamic di sebuah Bank. Perjanjian pembiayaan yang saya tandatangan dan semua maklum bahawa setiap personal loan kakitangan kerajaan perlu buat bayaran melalui ANGKASA. Tetapi Bank ni lain sikit, bayaran loan ni perlu dibuat direct melalui potongan gaji. Bayaran bulanan bermula April 2011 adalah sebanyak RM638.00.

 

MASALAH BAYARAN BALIK

Pada April 2011, saya dapati tiada potongan gaji dibuat untuk bayaran loan tersebut. Saya bertanya dengan bahagian kewangan jabatan saya dan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya buat potongan kerana belum mendapat surat arahan potongan dari pihak Bank. Saya terus call Bank dan Bank semak. Ternyata satu borang untuk potongan gaji tak disertakan semasa permohonan loan dulu. Bila dah jadi macam ni, saya membuat bayaran secara manual. Direct transfer dari akaun ke akaun loan. Saya buat bayaran manual dari April 2011 – Januari 2014 secara manual!!.

 

MULA ADA TUNGGAKAN (LETTER OF DEMAND & LETTER OF TERMINATION)

Mula dari Februari 2014, saya gagal buat bayaran. Atas masalah kewangan dan masalah direct transfer dari akaun. Saya kol Bank HQ di KL, diorang cek, sepatutnya loan saya kena buat potongan gaji dan tiada cara bayaran selain kena buat potongan gaji. Jika saya bayar dengan cash deposit pun tak boleh.

Selepas 4 bulan tunggakan, Bank mula call. Saya ceritakan perkara sebenar. Dan Bank cakap akan semak. Sampai la saya mendapat Letter of demand. Saya masih cerita perkara yang sama. Di sini saya mula rasa ragu. Bank call berkata saya ada tunggakan pinjaman rumah. Padahal saya buat pinjaman peribadi. Di mana rekod saya sebenarnya?
Beberapa bulan lepas tu, saya menerima Letter of Termination. Di sini saya mula tak sedap hati. Saya dan kawan saya yang juga ada masalah kad kredit pergi ke BNM untuk minta bantuan AKPK. Kami mendengar taklimat sehari. Di situ saya rasa saya dah terlewat dan takut nak mula langkah dengan AKPK. Saya mula pikir negatif. Tindakan paling SALAH saya dah buat.

Beberapa bulan berlalu.. tiba-tiba saya dapat surat dari pos daftar tentang NOTIS KEBANKRAPAN. Tarikh pendengaran pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar (PKP) Mahkamah Tinggi pada Jun 2015. Masa ni jantung saya dah macam berhenti. Lemah lutut saya. Saya baca satu persatu. Apa yang perlu saya buat. Saya Nampak no telefon dan alamat pejabat guaman yang menguruskan kes ini. Saya terus call dan bertanya. Mereka menyuruh saya berbincang dengan bahagian credit Bank. Di sini saya cerita semuanya dan kos tunggakan saya masa tu adalah RM7000. Mereka mencadangkan saya buat bayaran sedikit demi sedikit sehingga tarikh pendengaran kes. Namun sehingga Jun 2015, saya memang gagal buat bayaran dan mustahil dengan masalah kewangan yang saya hadapi. Sebelum saya ke Mahkamah, saya merujuk kepada ramai orang, kawan-kawan saya, sumber di internet.

 

PENDENGARAN PENGURUSAN KES 1

Saya ke Mahkamah Tinggi. Satu pengalaman baru bagi saya. Memang saya langsung tidak tahu prosedur Mahkamah. Saya bertanya seorang pengawal bilik PKP. Tetapi PKP beritahu tunggu di bilik cubical. Saya menunggu di situ. Saya lihat ramai peguam menunggu. Saya seorang sahaja orang awam yang berada di situ. Peguam masuk ke bilik cubical PKP dan saya tidak tau siapa peguam yang berkaitan dengan saya. Masa tu saya dah takut. Takut dijatuhkan hukuman ingkar tetapi saya ada di situ. Saya selamba membuka pintu PKP dan bercakap nama saya. PKP suruh saya keluar dulu. Saya tunggu di luar dan tiba-tiba peguam yang berbincang dengan PKP keluar dan memanggil nama saya. Bila saya masuk, PKP telah menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya pada oktober 2015. Pada masa tu, saya lihat peguam terkejut dan mungkin tidak sangka saya akan ke Mahkamah.

 

PENDENGARAN PENGURUSAN KES 2

Pada tarikh ini saya ke Mahkamah lagi. Tetapi peguam dah masuk awal dari saya. Saya nekad masuk ke bilik PKP seorang diri. Masa tu PKP dengan tegas bertanya, mana saya tau tarikh ini. Saya memberitahu saya semak di system e filing Mahkamah. PKP memberitahu bahawa peguam memohon perintah PETISYEN PEMIUTANG (CP) kepada saya dan saya perlu tunggu surat.

 

PETISYEN PEMIUTANG

Saya telah menerima surat dari peguam untuk meneruskan tindakan CP. Dalam masa ni saya memang sentiasa berunding dengan Bank akan buat bayaran semampu saya. Bank masih meminta untuk buat bayaran tunggakan dan baru akan Tarik balik kes. Tarikh pendengaran CP adalah Disember 2015.

 

PENDENGARAN PETISYEN PEMIUTANG

Pada Disember 2015, peguam memohon untuk dilanjutkan tarikh kepada PKP dan PKP bersetuju untuk dilanjutkan kepada jan 2016. Pada tarikh jan 2016, peguam memohon lanjutan tarikh kepada Februari 2016 atas alasan searching IC saya dalam proses.

Pada Februari 2016, saya mula main peranan. Saya bertanya pada Bank Negara Malaysia (BNM). Seorang pegawai BNM telah hubungi pihak Bank dan meminta penjelasan. (mungkin bapa dah marah anak) sebab kegagalan dan kesilapan Bank. Pada tarikh pendengaran Februari 2016, saya memohon tarikh dilanjutkan sehingga akhir Jun 2016. PKP dah tetapkan final untuk pendengaran CP pada Julai 2016. Lega saya di sini.

Pada Julai 2016, PKP yang menguruskan kes ini bertukar kepada orang lain. Pihak Bank memohon lanjutan dan PKP tetapkan tarikh pada eptember 2016. Pada tarikh pendengaran, saya memohon tarikh akhir adalah pada Februari 2017 dengan alasan saya mendapat dividend dan tiada bantahan dari peguam Bank. Namun begitu, tarikh telah ditukar kepada November 2016. Itupun saya semak di system. Tiada surat pemakluman dihantar kepada saya. Saya hadir ke Mahkamah November 2016 dan peguam mohon lanjut tempoh. PKP memutuskan tarikh final adalah Disember 2016 kerana kes ini terlalu lama. Tarikh Februari 2017 dibatalkan. Samada proceed CP atau Tarik balik kes.

 

TARIKH FINAL UNTUK PENDENGARAN CP

Saya hadir ke Mahkamah Tinggi. PKP bertukar orang. Peguam pun bertukar orang. Saya siap sedia dengan fail saya. Saya nekad untuk memohon Bank Tarik balik kes. Bila masuk, saya ceritakan kronologi smua dan peguam mohon PKP beri tarikh lanjutan baru. PKP mendengar alasan saya dan PKP memutuskan..
 
KES INI DITARIK BALIK TANPA KOS. Peguam boleh menuntut deposit RM2000 di Jabatan Insolvensi.
 
ALHAMDULILLAH.. SYUKUR YA ALLAH. Saya sujud syukur. Sekurang-kurangnya saya ada peluang kedua untuk buat bayaran. Selepas ini saya akan menyerah diri di AKPK untuk menguruskan hutang saya.

 

Nasihat saya dari pengalaman saya :

  • Bila terima Notice of demand – call Bank dan bincang
     

  • Bila terima Notice of termination – Bank boleh lagi dibawa berbincang
     

  • Notis keBankrapan – jangan malu call Bank. Merayu. Lepas diri sendiri. Buang ego.
     

  • Bila terima surat Petisyen Pemiutang – Bank boleh lagi beri peluang
     

  • Bila Mahkamah dah tetapkan pendengaran Petisyen Pemiutang, tarikh hari tu adalah tarikh Bankrap. (betulkan saya jika salah)..

 

Saya telah berada di tahap 4.. tapi di KIV pendengaran hampir setahun. Alhamdulillah kes ditarik balik.

Di sini adalah panduan di Mahkamah.

  • Apabila mendapat surat NOTIS KEBANKRAPAN, terdapat no kes Mahkamah yang kita boleh semak di e filing kehakiman. https://efiling.kehakiman.gov.my/eFiling/ . semak Mahkamah mana yang terlibat. Masukkan nombor kes dan terpampanglah jadual pendengaran kes anda dan PKP yang mengambil kes anda.
  •  

  • Apabila sampai di Mahkamah, semak nombor kes anda di kiosk yang terdapat Mahkamah. Tingkat dan bilik mana pendengaran kes.
  •  

  • Bila dah dapat nama PKP yang terlibat, di papan kenyataan akan dipamerkan nombor kes di bawah pengurusan PKP dan lokasi bilik pendengaran.
  •  

  • Bila sampai di luar bilik, tunggu setiap peguam yang datang. Tanya setiap seorang adakah terlibat dengan anda. Jika berjumpa. Duduk sekali dan bincang, masuk sekali ke bilik pendengaran PKP.
  •  

  • Buat rayuan untuk diri sendiri.
  • Leave a Reply / Masukkan Komen Anda