Prosedur Undang Undang Pinjaman Kereta (Sewa Beli) Bahagian 2

Kita dah sampai pada bahagian tindakan undang undang bagi pinjaman kereta yang tidak berbayar. Slide penuh dalam bentuk Powerpoint boleh didapati di Slideshare iaitu di:

atau Koleksi Album Facebook di sini: Album Tindakan Undang Undang Pinjaman Sewa Beli

Kita mula dengan slide pertama iaitu slide “pengenalan” kepada tajuk kita:

HPLEGALPROCESS_MALAYP1MUKA

Kalau nak tahu lebih lanjut tentang “Sumber Dana” Pam Tayar dan Pam Basikal tu boleh rujuk atau ulangkaji kat Fakta Tentang Duit Digital, Duit Kertas dan RIBA

Seperti juga dengan pinjaman pinjaman yang lain, kita bermula dengan situasi “happy happy” dan “gumbira” iaitu pinjaman telah diluluskan, duit sudah “dilepaskan”, kereta pun dah dapat dan pada tarikh itulah pinjaman itu bermula secara rasmi iaitu tarikh perjanjian pinjaman. Kalau nak ulangkaji cerita “happy happy” ni boleh rujuk balik tajuk dalam blog ini iaitu: Bahagian 5: Bahagian Kutipan Hutang.

HPLEGALPROCESS_malayP1

Pada masa ini, Bank sudah pun mendapat pendapatan “faedah” bagi bulan yang pertama. Sila rujuk Bahagian 1 untuk keterangan lanjut tentang struktur faedah ini.

Kita akan membuat andaian bahawa bagi contoh ini, tiada bayaran diterima dari Penyewa semenjak tarikh perjanjian bermula supaya mudah kita melihat aliran tindakan undang undang yang diambil. Pada bulan pertama tunggakan, akaun Penyewa dikira masih “muda” dan Bank masih “bersangka baik” jadi surat dan sms peringatan akan dikeluarkan. Panggilan telefon juga akan dibuat untuk memberi peringatan atau menyemak samada nombor telefon Penyewa masih lagi “hidup” dan belum “masuk air” atau bak kata orang kedah “masuk ayaq”. Denda lewat akan dikira secara automatik beserta dengan belanja pos dan kos sms.

HPLEGALPROCESS_MALAYP2A

Masuk bulan kedua tunggakan, secara automatik Jadual Keempat (Fourth Schedule) akan dikeluarkan seperti yang termaktub dalam Akta Sewa Beli:

HPLEGALPROCESS_MALAYP2B

Yang ditunjukkan diatas adalah sebahagian dari intipati Seksyen 16 Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) tentang Jadual Keempat dalam bahasa Melayu. Seksyen 16 Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) tentang Jadual Keempat adalah seperti dibawah (cakap omputeh, saya tak jumpa yang Bahasa Melayu dan tak sempat/malas nak terjemah sepenuhnya)

fourthscheduleS16

Seksyen 16 (2) diatas (dalam petak merah) kita akan bincang dengan lebih lanjut dalam bab “sambung bayar” sebab ada sangkut paut jugak, bukan setakat “bau bau bacang” sahaja. Kita sembang pasal Jadual Keempat dan suku sakatnya dahulu.

Inilah “ghope”nya contoh Jadual Keempat yang dikeluarkan:

fourthschedule

Dalam Notis Jadual Keempat ini ada disebutkan bahawa jika Penyewa menyerahkan kembali kereta secara sukarela, bayaran kos penarikan, kos kos berkaitan penarikan dan kos penyimpanan TIDAK akan dikenakan.

Selepas 14 (empatbelas) hari keluarnya Notis Jadual Keempat ni, pihak Bank lazimnya akan mengeluarkan satu lagi Notis yang dipanggil “Notis Tentang Niat Untuk Mengambil Semula” sebagai peringatan tambahan bahawa tinggal 7 (tujuh) hari sahaja lagi sebelum kereta ditarik balik. Notis ini boleh dianggap sebagai “kusyen” bagi pihak Bank bahawa peringatan secukupnya telah diberi kalau kalau Penyewa bising kata “tak cukup Notis” atau tidak menerima peringatan secukupnya. Kedua dua Notis ini dihantar melalui Pos Berdaftar ke alamat terakhir Penyewa sebagai bukti penghantaran dan juga digunakan sekiranya kes berlanjutan hingga ke Mahkamah. Notis Notis ini juga akan dihantar kepada Penjamin (jika ada)

Inilah contoh NI (Notice of Intention) atau Notis Tentang Niat Mengambil Semula:

NI

Harus diingat bahawa dibawah Seksyen 16 (1), Notis Notis diatas HANYA boleh dikeluarkan jika tunggakan adalah 2 (DUA) bulan ansuran tertunggak berturut turut (bukan 1 1/2 ansuran sebab tu Bank tak mau terima bayaran setengah atau suku suku nanti jadi masalah “tafsiran” pulak) dan jumlah bayaran yang telah diterima dari Penyewa mestilah kurang dari 75% dari HARGA TUNAI kereta tersebut. Macamana tu? Sila lihat gambar dibawah:

rebateAABB75malay

Berdasarkan grafik diatas, harga tunai kereta adalah RM60,000 jadi jikalau Penyewa telah membayar sehingga 72 bulan (6 tahun), maka dia telah pun membayar 75% dari harga tunai tersebut. (ini baru “matematik” yang biasa belajar kat sekolah). Ini bermakna Bank tidak boleh mengeluarkan Notis Jadual Keempat sekiranya Penyewa tidak membayar ansuran bulanan yang ke 73 dan 74 (berturut turut) dan perlu mendapatkan Perintah Mahkamah sebelum boleh mengeluarkan Notis. Jenuh jugaklah sebab memakan masa yang agak lama. Oleh sebab contoh kita adalah akaun yang baru dan satu sen pun tak bayar lagi, maka Notis ini boleh dikeluarkan.

HPLEGALPROCESS_malayP3

Kita sambung balik cerita seterusnya. Selepas Notis Jadual Keempat tamat tempoh 21 hari dan tunggakan pun sudah menjangkau TIGA bulan, maka Bank sudah boleh mengeluarkan Surat Kuasa Penarikan Balik (Repossession Authority) atau ringkasnya “Surat Tarik” kepada Agen Agen “Perolehan Semula” (Repossession Agent) yang berdaftar dengan Association of Hire Purchase Companies Malaysia (AHPCM) . Agen Agen ini biasanya mempunyai “Kad Kuasa” atau “Kad Rujukan atau Pengesahan” daripada Bank sebagai bukti mereka mewakili Bank dan mempunyai hak untuk mengambil semula kereta yang tak berbayar tersebut.

Oleh kerana para Agen Penarik Kereta mempunyai reputasi yang kurang baik sejak zaman berzaman tentang cara mereka bekerja, pihak Bank dan juga AHPCM telah menyediakan beberapa garis panduan untuk Agen Agen ini bagi menjalankan tugas mereka. Garis panduan ini diambil dari website AHPCM (Pertubuhan Syarikat Syarikat Sewa Beli Malaysia) di http://www.ahpcm.com.my/appliform.html

KOD ETIKA BAGI PEMEGANG PERMIT (AGEN) ATAS PEROLEHAN SEMULA

1 (a) pemegang permit perlu memastikan bahawa mereka memiliki permit yang masih dalam tempoh sahlaku semasa menjalankan aktiviti pengambilan semula.
(b) pemegang permit yang terlibat semasa aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan haruslah pada bilangan yang minima kecuali kenderaan memerlukan bantuan tambahan.
(c) perolehan semula hanya boleh dijalankan setiap hari pada pukul 9 pagi hingga 9 malam sahaja.

2. Pemegang permit harus mendapat keizinan daripada penyewa sebelum memasuki premis persendirian. Pencerobohan ke atas premis persendirian tidak dibenarkan kecuali dengan perintah mahkamah.

3. Pemegang permit haruslah berketerampilan kemas dan mengamalkan sikap profesionalisme semasa menjalankan aktiviti pengambilan semula kenderaan atau barangan.

4. Pemegang permit adalah dilarang menggunakan segala bentuk kekerasan sewaktu proses pengambilan semula dijalankan.

5. Sewaktu proses pengambilan semula dijalankan, pemegang permit harus:

(a) mempamerkan Permit, Kad Pengenalan dan mengemukakan notis kepada penyewa memaklumkan akan alamat dan nombor telepon pemilik berdaftar dan pengawal yang diberi kuasa untuk dihubungi segera bagi menyelesaikan apa-apa masalah.

(b) memberi masa yang munasabah kepada penyewa untuk memeriksa dan mengeluarkan barang peribadi kepunyaan penyewa.

(c) mengambil gambar dalaman dan luaran kenderaan atau barangan untuk diserahkan kepada pemunya.

(d) mengeluarkan senarai inventori tentang kenderaan atas barangan semasa proses pengambilan semula dijalankan.

6. Sejauhmana proses pengambilan semula perlu dilakukan dengan kehadiran penyewa atau sesiapa yang berkenaan terhadap kenderaan atau barangan tersebut.

7. Pemegang permit haruslah membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas proses pengambilan semula dijalankan. Pengecualian hanya diberi bagi situasi tertentu, dimana tempoh masa dilanjutkan tidak lebih 48 jam.

8. Pemegang permit adalah terikat dengan segala undang-undang, peraturan, terma dan syarat, kod etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pengawal bagi menjalankan aktiviti pengambilan semula.

9. Pemegang permit hendaklah sentiasa peka dengan sebarang Kod Etika dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Pengawal dari semasa ke semasa.

Saya percaya bahawa Agen Agen ini akan melakukan sebaik mungkin dalam menjalankan kerja mereka kerana sedar ada pemantauan dan kalau boleh mereka pun tak suka kecoh kecoh. Walaubagaimanapun, seperti dalam artikel saya Bahagian 5: Bahagian Kutipan Hutang anda mungkin masih ingat Penyewa Penyewa atau Peminjam Peminjam pun ada “personaliti” masing masing yang akan mengundang reaksi yang berbeza daripada Agen Agen Penarik ini.

collectionratingMALAY

Faktor “kepelbagaian” peminjam ini yang bakal memeningkan kepala pegawai atau Pengurus Bank apabila kereta berjaya ditarik terutamanya tentang kos penarikan balik kereta yang juga bakal menyaksikan “drama” dan hujah hujah dari Agen Penarik dan Penyewa ketika “membahaskan” perkara tersebut. Kalau semua Penyewa macam “Spongebob Squarepants” yang betul bendul tu, senang cerita, tak payah pakai Agen Agen bagai, telefon suruh hantar kereta balik aje. Namun realitinya memang susah untuk diduga.

Matlamat si Agen Penarik ialah mendapatkan upah hasil dari kerjanya dan mereka biasanya bekerja dalam kumpulan dan semestinyalah mereka mahu upah yang maksima. Bagi kes kes yang “senang” seperti kes 2 – 3 bulan tertunggak dan jarak yang tidak jauh dan Penyewa yang “ok”, upahnya agak standard berbanding kes kes “berat” seperti yang menjangkau lebih 6 bulan malah bertahun dan yang kena “piang” ke negeri negeri tertentu yang upahnya memang mahal dan dalam sesetengah kes Bank sanggup bayar atau “buy back” (tarik kereta pun ada “buy back” jugak..:)) dalam angka “ribuan” jika berbaloi mengambilnya semula.

Sebab itulah Agen Penarik perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pegawai yang mengeluarkan “Surat Tarik” supaya mereka boleh memilih dahulu Surat Surat Tarik yang “MeleTOP” untuk memaksimakan “kejayaan” mereka. Pegawai Bank pulak kena berhati hati dalam pengagihan “Surat Tarik” supaya tidak dianggap berat sebelah apatah lagi memberikan surat yang sama kepada beberapa Agen melainkan dipersetujui bersama untuk mengelakan pergaduhan sesama Agen. Banyak kes pergaduhan yang berlaku yang kadang kadang tidak direkodkan samada sesama Agen atau antara Agen dan Pegawai Bank dan ada juga kes pegawai Bank dicederakan oleh Agen hanya kerana isu “Surat Tarik”

Dibawah ini diberikan contoh “Surat Tarik” yamg dikeluarkan:

RA

Kita akan sambung lagi dibahagian Ketiga iaitu apa yang berlaku selepas kereta berjaya ditarik semula. Cerita agak panjang juga….

Leave a Reply / Masukkan Komen Anda

  1. Assalam,

    Nak tanya berapa lama tempoh sah bagi kontrak perjanjian jual beli kenderaan..Saya telah membeli kereta pada tahun 1997,
    Kereta tersebut telah mengalami kemalangan.. saya telah tidak membayar sejak tahun 2000,, hanya baru2 ini saya telah dihubungi agen pengutip bagi pihak bank untuk membayar kembali hutang tersebut. dan akan membawa kes ini ke pihak bank negara utk proses bankrap.. setelah 16 tahun baru pihak bank mencari saya..

    Apa tindakan yang perlu saya buat?

    • Wa’alaikumussalam Fahizal

      Ini semua TEMBERANG Agen Kutip Hutang. Bank Negara terima report Bank Bank saja dan tidak terlibat dalam proses undang undang. Satu lagi, Lawyer TIDAK call peminjam. Pegawai Mahkamah TIDAK call peminjam. Mahkmah TIDAK ADA nombor telefon peminjam. Lawyer TIDAK BEKERJA untuk Mahkamah. Kes accident tidak ada tuntutan insurans? Kes dah lama dan kalau ada Saman boleh lawan dengan Akta Had Masa jika tiada Penghakiman sebelum ini yang “sah laku” sehingga 12 tahun dari tarikh Penghakiman.

      Fahami tindakan undang undang yang sebenar. Berikut adalah prosedur ringkas Tindakan undang undang

      1) Loyar menghantar Notis Tuntutan kepada peminjam meminta tunggakan memberi masa 14 hari atau menamatkan perjanjian

      2) Atas arahan Bank, jika tiada bayaran, Tuan Loyar akan menfailkan Saman di Mahkamah menuntut baki hutang. Dalam Writ Saman ini ada Notis Tuntutan yang memperincikan segala baki, faedah dan kos yang dituntut.

      3) Selepas mendapat meterai dan pengesahan Mahkamah, Writ Saman ini akan disampaikan secara kediri atau melalui pos kepada Peminjam dialamat yang terakhir yang ada dalam rekod Bank. Biasanya pendengaran kes akan ditetapkan dalam masa 14 hari dari tarikh Writ atau penyampaian itu. Peminjam perlu mendaftarkan diri untuk hadir pada tarikh itu. kalau tidak pada hari itu Penghakiman Ingkar Tanpa Kehadiran akan dikeluarkan.

      4) Selepas itu Bank dan Tuan Loyar akan menunggu salinan Penghakiman yang telah dimeterai dan disahkan oleh Mahkamah

      5) Apabila salinan Penghakiman didapati, satu salinan akan dihantar kepada Peminjam

      6) Bank boleh melaksanakan Penghakiman dengan tindakan undang undang keatas Peminjam. Kalau lebih RM30 ribu, boleh buat Bankrapsi

      Saya sarankan supaya buat semakan dengan CTOS di http://www.ctos.com.my/CTOSHOME/selfcheck.html. Register id (klik CTOS User ID) dan ikut arahan di Skrin. Kalau tak silap saya bila dah register Id, satu lapuran ringkas akan diberi. Ia akan memberikan indikasi kalau ada tindakan undang undang.

      Nak tahu lebih lanjut bayar RM10 secara online untuk dapatkan lapuran secara detail. Bila dah dapat keputusan rujuk semula disini dengan email kepada saya di codetyco@ceritahutangbankdananda.com. Baru kita boleh tahu setakat mana tindakan undang undang yang telah dikenakan.

      Cara cara nak check CTOS ada kat link ini. Kredit kepada penulisnya dan terima kasih kita ucapkan.

      http://www.chatpropertymalaysia.com/how-to-check-your-credit-records-via-ccris-and-ctos/

      Mendedahkan butir butir pinjaman kepada pihak ketiga adalah melanggar undang undang dibawah Akta Perlindungan Data Peribadi. Baca disini untuk mengetahui apa Agen Kutip Hutang boleh dan tak boleh buat:

      https://www.facebook.com/ceritahutang/photos/a.472754979549370.1073741828.323566051134931/544702999021234/?type=3&theater

      Sila baca disini tentang bab TEMBERANG sita menyita dan cara menangani Agen Kutip Hutang

      https://www.facebook.com/ceritahutang/posts/534912356666965

      http://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2015/10/11/panduan-menangani-agen-kutip-hutang/

      Ini pula TEMBERANG paling top Agen Kutip Hutang:

      https://www.facebook.com/ceritahutang/photos/a.472754979549370.1073741828.323566051134931/564105717080962/?type=3&theater