Prosedur Tindakan Undang Undang Pinjaman Kereta (Sewa Beli) Bahagian 1 (Updated) 8 Comments


Sekarang kita dah sampai kepada suatu topik yang “popular” iaitu tindakan undang undang berkenaan dengan pinjaman kereta.  Kenapa? Sebab ramai orang yang memiliki kereta samada yang dibeli baru atau yang terpakai dan kebanyakannya dibeli secara berhutang. Kereta “baru” hari ini akan menjadi “terpakai” apabila ia didaftarkan dan ada yang membuat pinjaman 7 hingga 8 tahun lalu pun belum habis lagi hutang atau membuat hutang baru dengan membuat “refinancing” (kalau ada harga lagi la) atau membeli kereta baru bila hutang lama dah habis. Sebelum kita pergi ke prosedur tindakan undang undang bagi pinjaman kereta, ada beberapa perkara yang perlu anda ketahui.

 

Semua pembelian kereta yang dibuat melalui pinjaman Bank perlu mematuhi peruntukan peruntukan yang telah ditetapkan oleh Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan terbaru 2010) yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Akta ini telah mengalami beberapa pindaan utama sejak 1967 dan bertujuan untuk melindungi pengguna atau lebih tepat lagi “Penyewa” dan juga melindungi hak hak “Pemilik” iaitu Bank yang memberi pinjaman. Tidak kurang dari 32 kesalahan yang disebut dalam Akta ini yang merangkumi beberapa perkara antaranya Pemilik yang memberi Jadual Kedua (I dan II) dan Perjanjian Sewa Beli yang kosong untuk ditandatangani, Pemilik atau Agen yang tidak mengutip deposit minima 10%, Penyewa yang menjual kereta secara tidak sah (seperti sambung bayar), kegagalan Pemilik untuk memberi Notis Notis yang diperuntukkan, penyembunyian fakta dan beberapa kesalahan lagi. Berdasarkan kepada beberapa contoh kesalahan yang  disebut, anda boleh menilai samada peruntukan peruntukan dalan Akta Sewa Beli 1967 ini telah dicabul sewenang wenangnya atau tidak.

Hukuman bagi sesiapa yang melanggar peruntukan peruntukan dalam Akta ini agak berat juga diantaranya:

1)    Pengedar, agen atau sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak Pemilik (biasanya Bank) yang membuat pernyataan palsu berkenaan dengan  penyediaan Perjanjian Sewa Beli jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara 12 bulan atau kedua duanya sekali.

 

2)   Setiap seorang yang, dengan “pelepasan” (disposal) atau penjualan apa jua barangan yang terkandung didalam Perjanjian Sewa Beli , atau dengan mengalihkan barangan, atau dengan apa cara sekalipun, menipu atau cuba menipu Pemilik adalah melakukan kesalahan dibawah Akta ini dan, jika sabit kesalahan, akan didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi TIGA tahun atau kedua duanya sekali.

3)   Sesiapa yang melakukan kesalahan dibawah Akta ini atau apa jua peraturan dibawah Akta ini yang tiada disebut secara khusus hukumannya seperti diatas, hukumannya ialah:

(a)   Jika yang melakukan kesalahan adalah badan korporat, denda tidak melebihi RM100,000 dan untuk kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM250,000. Jika pemegang jawatan badan korporat seperti Pengarah, Pengurus atau Pegawai yang terlibat dalam pengurusan badan korporat yang gagal membuktikan bahawa kesalahan tersebut bukan atas kemahuan atau kebenarannya dan telah berusaha untuk mencegahnya akan dikenakan denda sebanyak RM25,000 atau penjara tidak melebihi TIGA tahun atau kedua duanya sekali. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara LIMA tahun atau kedua duanya sekali.

(b)  Jika yang melakukan kesalahan adalah individu, akan dikenakan denda sebanyak RM25,000 atau penjara tidak melebihi TIGA tahun atau kedua duanya sekali. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara LIMA tahun atau kedua duanya sekali.

4) Ada juga kesalahan yang boleh dikompaun tidak melebihi 50% dari nilai maksima denda yang boleh dikenakan.

 

Tu dia. Berat jugak denda dan hukuman yang dikenakan. Seperti yang saya katakan tadi, Akta ini bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna dan juga pemberi hutang terutamanya pembeli kereta terpakai dari segi perlindungan dari membeli kereta yang tidak memenuhi spesifikasi atau kereta yang disembunyikan “penyakit”nya, kereta “potong” atau kereta curi, perlindungan dari segi tatacara pembelian dan membuat pinjaman dan tatacara penarikan balik dan tindakan undang undang.

Namun begitu, pindaan pada Akta ini pada tahun 2010 walaupun bagus dari segi tujuan dan “niat”nya, telah menimbulkan masalah kepada agen dan pengedar kereta dan juga Bank kerana dirasakan telah “terlajak lindung” untuk pengguna sehingga melambatkan dan “menyusahkan” proses pembelian kereta dan boleh mendatangkan kerugian kepada agen dan pengedar kereta.

Bagi pihak  pengguna pula, kelewatan proses membeli kereta mendatangkan masalah kepada mereka terutamanya yang mahukan kereta dengan segera lebih lebih lagi untuk Hari Raya (yang sangat sangat mustahak bagi sesetengah orang) tetapi masih mengharapkan perlindungan dari Akta ini bila ada masalah walaupun mereka juga melakukan beberapa kesalahan atau sudah dikira “bersubahat” dalam melakukan beberapa kesalahan dalam Akta ini samada secara sedar atau tidak.

Saya tak mau komen banyak banyak sebab perkara ini sudah dibincang dengan panjang lebar oleh pihak pihak yang terbabit dan maklumat ini boleh didapati di blog atau website berita yang lain dan anda boleh cari topik ini dengan mudah melalui Encik Google. Saya nak cerita tentang proses tindakan undang undang yang diperuntukan oleh Akta Sewa Beli 1967 dari segi kutipan hutang tak berbayar dan beberapa perkara yang berbangkit seperti “sambung bayar” dan yang seangkatan dengannya.

Lazimnya, seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, pinjaman pembelian kereta dinamakan Pinjaman Sewa Beli dimana selagi hutang tidak  dibayar dengan penuh, peminjam akan menjadi “Penyewa” kepada kereta tersebut manakala Bank adalah “Pemilik” kereta dengan meletakkan “cap mohor” mereka di Kad Pendaftaran Kereta atau “Geran” kereta.

Selalunya kadar faedah yang dikenakan adalah faedah kadar tetap (flat rate) walaupun “kadar berubah” (variable rate) boleh juga dikenakan yang berasaskan BLR atau “Base Lending Rate” atau “Kadar Pinjaman Asas”. Struktur faedah ini termaktub didalam Akta ini didalam Jadual Keenam (Sixth Schedule) seperti yang ditunjukkan dibawah ini:

 

sixthschedule

sixthschedule2

 

Perkiraan diatas berkait rapat dengan “rebate”, rebat atau diskaun yang diberi keatas jumlah faedah/riba yang belum cukup “umur” atau belum sampai masa untuk dikutip apabila Penyewa ingin membuat penyelesaian penuh jumlah yang masih terhutang dengan Bank. Kita ambil contoh butir butir pinjaman kereta seperti berikut:

 

loandetails

Andaikata Penyewa ingin menyelesaikan hutang pada bulan ke 36. Formula bagi pengiraan rebat ialah:

 

rebatecalc

Berdasarkan kepada pengiraan diatas, rebat atau diskaun yang diberi ialah RM8036.70 dan jumlah ini “sah diperlakukan” sebelum masuk tarikh “due date” bayaran yang ke 36. Kalau terlepas tarikh ini, kena kira rebat bagi tarikh “due date” selepasnya iaitu bayaran yang ke 37 dan seterusnya.

Pada masa saya “muda muda” dulu rebat ni kena kira secara manual dan boleh tunjuk pada Peminjam/Penyewa bagaimana ia dikira sebab selalu terjadi perbalahan apabila tiba masa “full settlement”. Dialog yang kerap didengar dari Penyewa ialah “Saya dah bayar banyak, macamana baki masih banyak lagi? Saya Cikgu Matematik tau!” (Dipetik dari sebuah kisah benar) Jawabnya ialah di sekolah  takde belajar matematik ni. Ini matematik Faedah/Riba. Namanya “Rule of 78” atau “Sum of the Digits” (iaitu jumlah nombor nombor 1+2+3+4+5+6+…12 = 78) iaitu suatu formula yang direka dalam tahun 20an dan 30an semasa ketiadaan calculator bertujuan untuk membolehkan pihak pemberi hutang memaksimakan keuntungan mereka. Bank akan sapu sebahagian besar Faedah/Riba dahulu dalam ansuran bulanan pada tahun tahun yang awal (lebih kurang 75% faedah/riba akan di’peruntukan” sehingga separuh umur pinjaman) . Dah dekat nak habis barulah banyak bahagian  hutang yang ditolak. Pasal itulah matematik Cikgu tak dapat jawapan sebab matematik Bank tak ramai yang belajar dan sekarang semua dah masuk komputer lagilah tak tahu…

 

Untuk sedikit pemahaman sila lihat contoh jadual pembayaran dibawah:

rebateAABBinterestmalay

Perjanjian Sewa Beli bermula sebaik sahaja Bank membuat bayaran kepada Agen atau Pengedar kereta atau Pemilik sebelumnya. Seandainya anda tiba tiba tak suka kereta yang anda dah beli dan hendak membuat penyelesaian penuh walaupun selepas sehari perjanjian berjalan, anda sudah pun dikenakan faedah/riba, dalam contoh diatas, sebanyak RM330.28 dan kereta “baru” yang kini berstatus “second hand” tiba tiba sudah hilang harga beberapa ribu ringgit. Itulah hakikat yang perlu diterima.

Anda juga boleh lihat sendiri, sampai tahun ketiga pun, sebahagian besar bayaran bulanan di “peruntukan” untuk faedah/riba.  Itulah “acuan” yang sudah termaktub dalam Akta Sewa Beli yang saya telah sebutkan tadi iaitu apa yang dipanggil “Rule of 78” yang tidak disebutkan dengan jelas cara pengiraannya seperti berikut:

rebatedefinition

Agak agak berapa orang yang boleh faham “cara pengiraan” yang diberi diatas? Dulu formula ini ada ditunjukkan tetapi sekarang tidak lagi. Mungkin mengikut peredaran zaman yang semakin canggih. Dengan adanya sistem komputer pada zaman sekarang, pengiraan rebat boleh dikira dengan “hujung jari” aje tak perlu pakai “manual” lagi. Ada “Bankers” anak anak muda zaman teknologi sekarang tak tahu pun cara nak kira rebat ni. Ada pulak kadang kadang Peminjam/Penyewa yang suka menyakat akan bertanya bagaimana pegawai atau kerani Bank dapat nilai rebat yang dicetak oleh komputer. Yang tak tahu akan jadi gabra dan muka pun berubah dan kata komputer yang print jadi mestilah betul. Ada yang menyakat lagi nak tahu jugak jadi terpaksa tanya Pegawai yang “senior” kut kut dia tahu.

 

Pada zaman sekarang, “spesis manual” dan “old school” semakin pupus sebab ramai yang dah pencen atau “bersara awal” bila Bank kena jual. Apa hal pun, itulah hakikat yang sebenar tak kira hutang rumah ke, pinjaman peribadi ke atau kad kredit, faedah/riba kena kasi “clear’ dulu. Apa apa hal “senang” nak saman atas baki hutang yang maksima dan boleh caj faedah lewat/denda juga semaksima mungkin dan selepas dapat Penghakiman boleh caj lagi atas jumlah Penghakiman.

Itulah dia mukadimah bagi tajuk ini bertujuan untuk memberi maklumat asas tentang Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010). Kita boleh mulakan penerangan seterusnya iaitu Prosedur Tindakan Undang Undang bagi Pinjaman Kereta/Kenderaan Bahagian 2… Tunggu….

 

 


Leave a Reply / Masukkan Komen Anda

8 thoughts on “Prosedur Tindakan Undang Undang Pinjaman Kereta (Sewa Beli) Bahagian 1 (Updated)

  • Neo

    Salam..saya adalah peminjam kereta jual beli.Masalah yang saya hadapi sekarang jumlah yang saya telah bayar telah melebih 95 %.Cuma semenjak ni saya ada sedikit masalah dan tidak mampu membayar jumlah bulanan..saya cuma bayar setengah darinya . ketika saya memandu kereta.,penarik kereta datang untuk menarik kereta saya.apabila saya menelefon bank menanyakan kenapa saya tidak menerima jadual keempat.mereka menjawap mereka adalah bank Islam dan jadual keempat hanya lah untuk bank konvensional. apabila saya menanyakan ada kah mereka sudah mendapat perintah mahkahmah..mereka menjawap mereka mempunyai surat perintah mahkamah tetapi pada tahun 2010.adakah ia masih boleh diterima pakai ? betulkah bank Islam tidak memerlukan jadual keempat untuk menarik kereta ?

    • Abu Ammar

      Tuan

      Kemudahan “Hire Purchase-i” yang ditawarkan dalam konsep “Islamic Banking” biasanya akan dikawal selia oleh Akta Sewa Beli. Biasanya ia dipanggil Al ijarah Thumma Al Bai’ yang bermaksud “sewa/pajak/upah diikuti selepas itu Jualan kepada Penyewa” yang juga membawa maksud yang sama dengan Hire and then Purchase. Cuma bezanya ada dua perjanjian yang berbeza bagi tujuan “menghalalkannya”

      Kes kes saman samada yang Islamik atau tidak akan dibawa ke Mahkamah Sivil. Ada ura ura untuk merangka “Akta Sewa Beli Islamik” tapi sampai sekarang tak muncul lagi. Kalau ada pun ia tidak akan lari dari Ata yang sedia ada. Kalau ada yang kata tidak ada kena mengena dengan Akta Sewa Beli, mungkin kena email kat saya salinan perjanjian sewa beli itu. Selalunya kalau ada apa apa pertelingkahan berkenaan barangan yang termasuk dalam Jadual 1 dalam Akta Sewa Beli, walaupun bukan perjanjian Sewa Beli, ia tetap akan dirujuk kerana ia dianggap telah merangkumi segala permasalahan yang mungkin timbul.

      AEON Credit contohnya dalam “Easy Payment Scheme”nya walaupun bukan perjanjian sewa beli, tetapi telah mengambil “spirit” Akta Sewa Beli dengan menggariskan beberapa prosedur tentang penarikan balik dan notis notis yang perlu diberi (Sebijik macam Akta Sewa Beli) sebagai “cover” kalau kalau ada aduan tentang tindakan yang tidak menepati keperluan undang undang. Siap ada prinsip “Islamik” lagi dalam jual beli.

      Dalam permasalahan Tuan, dalam Akta Sewa Beli memang ada peruntukan untuk mendapatkan perintah Mahkamah untuk penyerahan semula kereta jikalau bayaran sudah meleihi 75%. Biasanya perintah sebegini tempohnya adalah 12 bulan dan boleh “renew” di Mahkamah sebelum ia luput. Persoalannya, adakah “Court Order” itu telah diperbaharui dengan sempurna selama 5 tahun? Saya tak pasti boleh renew berapa kali (kena check peraturan Mahkamah) tapi benda benda macam ni boleh di “challenge” di Mahkamah sebab seperti yang saya katakan tadi, Mahkamah Sivil yang akan “mendengar” kes kes hutang Bank ini.

      Kalau ada salinan agreement sila email kat saya. Scan dan save dalam bentuk pdf. Ini sesuatu yang menarik untuk dikongsikan.

          • dayang

            Assalamualaikum Tuan Ammar, saya dpt writ saman krna byrn tertunggak loan peribadi. Pihak pengutip ada whatsapp menyatakan baki tertunggak dan sy minta agar sy selesaikannya sdikit demi sdikit krna sy x lg bkerja. Sy xpnah menerima sbrg notis, tiba2 writ saman yg sy trima. Apa tndakan yg wajar sy lakukan. Seboleh2nya, saya xmahu smpi disaman. Tidak boleh ke ansuran bulanan diturunkan amaunnya. Mohon nasihat yg wajar dri Tuan Ammar. Terima Kasih.

          • Abu Ammar

            Wa’alaikumussalam Dayang

            Tindakan Saman tidak boleh dielakkan apabila hutang tidak berbayar. Memandangkan Dayang tidak lagi bekerja, agak sukar untuk membuat perbincangan atau cadangan pembayaran dengan Bank. Disini saya berikan proses tindakan undang undang yang akan diambil oleh pihak Bank supaya sekurang kurangnya Dayang tahu apa yang akan berlaku selanjutnya.

            Prosedur ringkas Tindakan undang undang

            1) Loyar menghantar Notis Tuntutan kepada peminjam meminta tunggakan memberi masa 14 hari atau menamatkan perjanjian

            2) Atas arahan Bank, jika tiada bayaran, Tuan Loyar akan menfailkan Saman di Mahkamah menuntut baki hutang. Dalam Writ Saman ini ada Notis Tuntutan yang memperincikan segala baki, faedah dan kos yang dituntut.

            3) Selepas mendapat meterai dan pengesahan Mahkamah, Writ Saman ini akan disampaikan secara kediri atau melalui pos kepada Peminjam dialamat yang terakhir yang ada dalam rekod Bank. Biasanya pendengaran kes akan ditetapkan dalam masa 14 hari dari tarikh Writ atau penyampaian itu. Peminjam perlu mendaftarkan diri untuk hadir pada tarikh itu. kalau tidak pada hari itu Penghakiman Ingkar Tanpa Kehadiran akan dikeluarkan.

            4) Selepas itu Bank dan Tuan Loyar akan menunggu salinan Penghakiman yang telah dimeterai dan disahkan oleh Mahkamah

            5) Apabila salinan Penghakiman didapati, satu salinan akan dihantar kepada Peminjam

            6) Bank boleh melaksanakan Penghakiman dengan tindakan undang undang keatas Peminjam. Kalau lebih RM30 ribu, boleh buat Bankrapsi