Proses Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi/Persendirian Bahagian 1 460 Comments


Sekarang kita telah sampai ke topik yang ditunggu tunggu. Tatacara pelaksanaan tindakan undang undang keatas peminjam yang gagal menjelaskan tunggakan ansuran bulanan. Kita akan mulakan dengan tindakan undang undang keatas peminjam yang gagal membayar hutang peribadi.

Mengapa mula dengan hutang peribadi? Kerana hutang ini yang “paling rendah martabatnya” iaitu “kekuatan” sandaran pinjaman adalah kepada individu itu sendiri iaitu pendapatan bulanannya. Kalau ada pun cagaran lain ialah penjamin kepada pinjaman itu. Bagi pinjaman kereta dan rumah, cagaran adalah kereta dan rumah itu sendiri selain dari pendapatan individu dan juga penjamin jika ada. Sebab itu selalunya pinjaman jenis ini dipanggil “unsecured loan” atau secara bebasnya diterjemahkan kepada pinjaman “tak berapa selamat”.

Dalam kes peminjam mempunyai banyak hutang dengan beberapa Bank misalnya dan telah jatuh muflis dan setelah berlakunya lelongan segala harta yang dimilikinya, keutamaan akan diberi kepada Bank pemiutang yang mempunyai cagaran dalam bentuk harta benda dan yang terakhir sekali yang akan dibayar (itupun kalau ada sisa dan “seredak” macam kuih raya) barulah diagih agihkan kepada Bank yang mempunyai “unsecured loan” ini. Selalunya “makan angin” aje lah. Perlu juga diambilkira bahawa pinjaman kad kredit juga termasuk dalam kategori “unsecured loan” dan ia hanya bergantung kepada peminjam semata mata.

 


 
Sebab itu struktur faedahnya (kad kredit) adalah sangat tinggi bersesuaian dengan risikonya. Cuma walaupun ada “had kredit” yang ditentukan misalnya RM10,000, bukan semuanya akan diberi sekaligus (melainkan kawan tu shopping sakan habiskan sampai limit) dan jika pada bulan pertama pinjaman tidak dibayar, kemudahan kredit akan disekat dan faedah yang dikenakan sangat tinggi iaitu diantara 16% hingga 18% setahun. Jadi pendapatan dari faedah ini (terutamanya dari “kaki bayar 5%”, boleh “cover” hutang tak berbayar secara amnya) Keputusan untuk mengambil tindakan undang undang agak berbeza sedikit dari pinjaman persendirian yang biasa atas dasar “pendapatan” tinggi dari faedah dan jumlah hutang yang “sesuai” untuk tindakan undang undang itu sendiri. Anda boleh lihat sendiri rasional untuk mengambil tindakan undang undang setelah melihat prosedurnya nanti kerana ada beberapa kelainan.

Satu lagi sebab kita bermula dengan pinjaman peribadi adalah kerana tatacara tindakan undang undang adalah secara “terus” atau bak kata omputeh “straightforward” kerana bagi pinjaman kereta dan rumah, ada peruntukkan undang undang yang berbeza dari segi penarikan balik kenderaan dan lelongan yang akan kita bincangkan dengan lebih terperinci kemudian. Persamaan dan hala tuju untuk mendapatkan penghakiman akhirnya adalah sama cuma ada beberapa “lencongan” yang perlu dipatuhi.

Ok. Kita boleh mula sekarang. Rujuk kepada gambar dibawah. Slide penuh boleh didapati di Slideshare iaitu di:

 
Prosedur Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi atau Koleksi Album Facebook di sini:

 
Album Facebook: Prosedur Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi

Kita lihat dulu Muka Depan atau Tajuk Rasmi topik ini:

 
LEGALPROCESSMALAYMUKA

 
Kalau nak tahu lebih lanjut tentang “Sumber Dana” Pam Tayar dan Pam Basikal tu boleh rujuk atau ulangkaji kat Fakta Tentang Duit Digital, Duit Kertas dan RIBA

Struktur faedah Pinjaman Peribadi bergantung kepada Bank yang memberi hutang iaitu faedah tetap, faedah atas baki tahunan atau bulanan. Kita akan cerita beza kadar kadar faedah ini kalau dalam bahasa omputehnya “flat rate”, monthly rests” dan “yearly rests” di tajuk yang lain iaitu apa yang sebenarnya yang “berehat” atau “rehat dan rawat” dalam faedah faedah tu.

Ok sekarang kita lihat pada slide yang pertama. Kita bermula dengan situasi “happy happy” dan “gumbira” iaitu pinjaman telah diluluskan dan duit sudah “dilepaskan” dan pada tarikh itulah pinjaman itu bermula iaitu tarikh perjanjian pinjaman. Kalau nak ulangkaji cerita “happy happy” ni boleh rujuk balik bahagian kelima iaitu:

 
Bahagian 5: Bahagian Kutipan Hutang

 
LEGALPROCESSMALAY1

 
Di “pendek”kan cerita, sebulan telah berlalu maka sampailah masanya ansuran pertama perlu dibayar seperti yang tertera. Dalam situasi contoh ini, kita akan memaparkan kisah suatu pinjaman yang langsung tidak berbayar untuk melihat masa yang diambil untuk mengambil tindakan undang undang sehingga ketahap mendapatkan penghakiman dan seterusnya melaksanakan tindakan penghakiman atau dalam bahasa omputehnya “Execution of Judgment” (terjemahan direct macam hukuman bunuhlah pulak). Ini adalah kerana dalam situasi sebenar ia jarang berlaku tetapi bukan tidak pernah berlaku. Dalam situasi sebenar akan ada faktor “ding dong” iaitu proses timbal balik interaksi diantara peminjam dan Bank iaitu janji janji untuk membayar yang ditepati atau dicapati, interaksi meminta “izin” ibu pejabat atau “Head Office” untuk tindakan selanjutnya, peminjam “ghaib”, cuti umum, cuti sakit dan sebagainya seperti info dalam gambar ini:

 
LEGALPROCESSmalayp3

 
Jadi selepas beberapa hari berlalu tanpa bayaran selepas tarikh “patut bayar” (tarikh “due”) Bank akan membuat panggilan telefon dan dalam kecanggihan teknologi terkini, ada yang mempunyai sistem sms dalaman dan menghantar peringatan sms sebagai cara yang “lembut” dan juga peringatan melalui surat.  Kemudian kenalah tunggu hasil dari peringatan yang diberi.

Peringatan melalui panggilan telefon mempunyai berbagai reaksi dari peminjam. Ada yang jenis bersopan santun akan memohon maaf zahir dan batin kerana belum ada kesempatan membuat bayaran dan berjanji akan membuat bayaran “secepat mungkin”. Ada yang tidak “mendengarkan” apa apa reaksi, kerana langsung tak angakat telefon! Ada yang hanya berkata “Huh! Nanti cukup bulan saya bayar.. Mengapa buat agreement tengah bulan?”. Padahal dia yang tergedik gedik minta duit cepat. Dan ada yang over “sensitip” marah marah dengan dialog “Tak payah call call sayalah! Tau la orang nak bayar… Apa, Tak Percaya Ka?” dan bermacam macam “peel” lagi. Tidak se”gumbira” seperti sebulan yang lalu…

 
LEGALPROCESSMALAY2

 
Sebulan lagi telah berlalu dan kini akaun dah masuk DUA bulan tak berbayar. Telefon dan sms lagi. Janji lagi atau langsung tak angkat telefon. Surat peringatan terakhir pun dikeluarkan. Kena tunggu lagi kut kut ada bayaran dibuat berdasarkan “janji manismu” yang telah dibuat. Bagi  pegawai atau kerani yang ada inisiatif, dia akan mula membuat siasatan awal dengan meneliti beberapa maklumat yang ada dalam fail kut kut ada yang tidak kena dengan “pemerosesan” fail sebab memang bukan dia yang buat.

“Kertas Siasatan” rasmi atau “Fail Collection” belum boleh bukak lagi sebab masil terlalu awal dan masih “bersangka baik”. Denda lewat bayar beserta dengan kos sms dan surat menyurat sudah mula dikira sejak bulan pertama lagi. Masa terus berlalu dan kini sudah masuk bulan yang ketiga seperti gambar diatas. Call dan sms lagi tapi masih tiada bayaran. Biasanya tunggu beberapa hari lagi sebelum mengambil tindakan seterusnya iaitu memulakan proses undang undang yang lebih “serius” iaitu mengeluarkan arahan kepada peguam untuk memberi surat tuntutan atau “Letter/Notice of Demand”. Pihak Bank berharap dengan surat ini sudah cukup untuk membuatkan peminjam merasa takut dan gundah gulana.

Tetapi sebelum mengeluarkan surat arahan ini, bergantung kepada polisi sesesuatu Bank, adalah perlu untuk mendapatkan kelulusan “bos” samada Pegawai Atasan, Pengurus Bank, ataupun “Head Office”. Ini adalah kerana proses tindakan undang undang melalui peguam memerlukan penambahan kos kepada Bank. Kalau denda lewat bayar tak payah buat apa apa, komputer yang akan kira dan ini merupakan “pendapatan angin” tambahan bagi Bank. Tindakan undang undang yang pertama ialah dengan Surat Tuntutan yang dikeluarkan oleh peguam yang pada masa sekarang “menelan” belanja antara RM30 hingga RM50 atau lebih bergantung kepada sesuatu firma guaman. Kenapa mahal? Sebab ada “Letter Head” peguam atau “loyar”. Masa saya kerja dulu lagi mahal dari RM75 hingga RM100 sebab dulu kebanyakan peguam lulusan “obersea” dan cakap omputeh je. Surat pun cakap omputeh jadi peminjam yang sepatah haram tak tahu cakap omputeh akan “blur” bila dapat surat. Yang dia tahu surat dari peguam dan ini menambahkan rasa “gerun” sebab tak faham apa benda isi surat tu.

Zaman sudah berubah. Dengan bertambahnya universiti tempatan menawarkan kursus undang undang terumanya UIA, maka ramailah bilangan peguam dan firma guaman maka dengan teori ekonomi “supply and demand” dan bertambahnya saingan maka kos surat loyar telah banyak dikurangkan. Itupun mahal lagi sebab kos sebenar tak sampai RM3.00 hingga RM5.00 termasuk kos surat berdaftar. Tapi kita kena kira “kos professional” la pulak. Loyar tu. Kalau tak, sia sia lah diaorang menghafal prosedur undang undang masa belajar kan. (cover line sikit, nanti marah pulak kawan kawan loyar)

Berbalik pada si Kerani atau Pegawai Bank tadi. Kena tunggu lagi. Akhirnya apabila mendapat kelulusan untuk meneruskan tindakan guaman, surat arahan pun akan dikeluarkan. Ada Bank yang canggih sistemnya akan mengarahkan peguam secara “online” dan kakitangan pejabat peguam akan “log in” untuk menyemak status arahan. Rasanya peguam yang kena bayar untuk “servis” ini. Hmm… kena lagi loyar kita… Proses “ding dong ini akan memakan masa dan mungkin terlajak sehingga bulan seterusnya…

 

LEGALPROCESSMALAYP4

 
Surat peguam biasanya memberi tempoh 14 hari kepada peminjam untuk memberi maklumbalas atau bayaran dan pada bulan keempat (bergantung kepada faktor “ding dong”) atau pada tahap tunggakan 4 (empat) bulan, pihak Bank sudah boleh membuat keputusan selanjutnya. Sekiranya tiada bayaran diterima, Bank akan mengarahkan peguam untuk memfailkan saman terhadap peminjam (faktor “ding dong”  seperti yang ditunjukkan dalam gambar iaitu meminta kebenaran pihak atasan, masa untuk untuk mengeluarkan arahan dan masa untuk menyediakan dokumen untuk tindakan saman sekali lagi perlu diambilkira) Dokumen yang perlu disediakan oleh pihak Bank ialah segala alamat surat menyurat peminjam dan penjamin (jika ada) dan suatu penyata tuntutan menyenaraikan baki hutang, denda lewat bayar dan lain lain kos seperti kos setem pos dan tak lupa juga kos surat loyar. Pada tahap ini, perjanjian diantara Bank dan peminjam akan ditamatkan dan Bank akan meminta semua baki hutang yang tertunggak.

BERSAMBUNG…

 

PROSES TINDAKAN UNDANG UNDANG PINJAMAN PERIBADI BAHAGIAN 2:

Proses Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi/Persendirian Bahagian 2

 

PROSES TINDAKAN UNDANG UNDANG PINJAMAN PERIBADI BAHAGIAN 3:

Proses Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi/Persendirian Bahagian 3

 


Leave a Reply / Masukkan Komen Anda

460 thoughts on “Proses Tindakan Undang Undang: Pinjaman Peribadi/Persendirian Bahagian 1

  • My

    Salam Admin, saya telah pergi ke JIM dan sudah mula membayar ansuran bulanan yg ditetapkan. Tetapi sehingga ke hari ini Pihak bank masih menghantar surat mengatakan akaun saya telah didebit/kredit caj bayaran bil guaman, sedangkan, saya sedia maklum pihak bank tidak boleh mengangu saya lagi. Dan sepatutnya, semasa proses diisytiharkan bankrap oleh bank, saya dapati saya tidak patut dibankrapkan kerana saya ada membuat pembayaran kepada pihak bank,cuma pembayaran tidak seperti ansuran bulanan yg dijanjikan.
    apa yg perlu saya lakukan??

    • Abu Ammar Post author

      Wa’alaikumussalam My

      Ambik statement tu dan tunjukkan kepada pegawai JIM. Pegawai JIM akan handle benda ni. Tentang “saya dapati saya tidak patut dibankrapkan kerana saya ada membuat pembayaran kepada pihak bank” itu patut dibantah semasa proses KeBankrapan. Lagipun bayaran tak cukup dan dalam setiap resit Bank akan ada tulis “segala pembayaran adalah diterima TANPA PRASANGKA atau “WITHOUT PREJUDICE” iaitu tidak menjejaskan apa apa tindakan undang undang yang sedang berlangsung.

  • Anonymous

    Assalamualaikum Tuan Ammar

    Saya ingin bertanya, sekiranya bank mahu mengambil tindakan WSS dan peminjam mempunyai pinjaman kereta dimana tiada default payment (dari bank yang berlainan). Adalah bank (yg ingin memgambil tindakan WSS) boleh menyita kereta peminjam?.. Sebab apa yang saya faham ttg WSS yg tuan Ammar kongsi kan.. ia menyatakan bank boleh menyita barang2 didalam rumah yg dimiliki oleh peminjam.

    Terima kasih.

    • Abu Ammar Post author

      Wa’alaikumussalam Anonymous

      Biasanya kereta akan ada hutang dan tuntutan dari Bank lain jadi kalau ambik pun banyak cerita pulak. Tindakan ini lebih kepada memberi tekanan kepada peminjam kerana Bank pun tahu kalau lelong pun berapa sangat yang dapat. Kos Loyar dalam RM2,000 ke RM2,500 pun tak lepas.

  • Nasha

    Assalammualaikum tuan Abu Ammar.

    Saya ingin memohon bantuan tuan untuk memberi pandangan serta nasihat.

    Saya ada membuat pinjaman peribadi dgn bbrp bank dgn jumlah yg amat besar (total sekitar 500k, potongan angkasa 3k, loan terbesar adlh dgn mbsb sbyk 250k) semasa saya berkhidmat sbg kakitgn di sebuah agensi kerajaan kira2 8 tahun. Namun, atas sbb2 peribadi, sy tlh meletakkn jawatan baru2 ini dan kini mempunyai kesukaran untuk membayar. Kini sy suri rumah sepenuh masa sambil2 berjinak2 dgn perniagaan online namun pulangannya akan mengambil masa.

    Saya pernah menerima surat peguam utk salah satu drpd pinjaman berkenaan tetapi tlh ditarik semula krn sy mmbuat byrn dgn wang simpanan & menggadai brg kemas sy. Kini saya tidak mmpunyai apa2 lg utk dibuat cagaran/byrn. Sy juga tidak mmbuat pinjaman drpd keluarga/mana2 individu krn takut tidak mmpu utk mmbayar kembali kelak.

    Saya ada menghubungi pegawai bank2 yg menguruskan akaun saya utk memohon pengurangan ansuran bulanan dan untuk berbincang. Usaha saya gagal kerana sy tiada pendapatan utk dibuat restructure.

    Sy juga telah ke AKPK dan dimaklumkn bhw byrn yg dpt diadjust oleh akpk utk hutang2 sy bg 2 thn pertama adlh rm3000 sebulan. Beliau tidak mahu menyatakan jumlah byrn utk tahun2 berikutnya krn jumlahnya semakin meningkat (arrangement secara step up).

    Saya ingin memohon nasihat Tuan untuk keadaan saya. Saya buntu samada utk teruskn dgn akpk ataupun pasrah dgn bankrap sahaja… Dgn pendapatan suami sekitar RM5000 sebulan, perbelanjaan harian & anak2 serta hutang rumah & kenderaan yg masih ada, sy merasakan sy tdk akan mampu memenuhi syarat akpk tsbt (rm3000 sebulan).

    Saya telah membaca SEMUA artikel tuan yg berkaitan dan merasakan pilihan bankrap yg terbaik buat masa ini.

    Mohon bantuan sgt2 tuan.
    Sekiranya perlu butiran lnjut, sy blh emelkn kpd tuan.
    Terima kasih.

    • Abu Ammar Post author

      Wa’alaikumussalam Puan Nasya

      Bagi jumlah komitment hutang yang terlalu besar, besar kemungkinan komitment dengan AKPK mungkin tidak dapat dikekalkan dengan syarat AKPK iaitu tidak boleh ada tunggakan 2 BULAN berturut turut. Pada masa ini optionnya ialah membiarkan pemiutang mengambil tindakan keBankrapan tetapi proses ini mengambil masa sekurang kurangnya 8 bulan hingga setahun dari tarikh penghantaran Notis Tuntutan Loyar jadi dengan izin ALLAH usaha perniagaan online akan mendatangkan hasil sebelum sempat Puan diBankrapkan dan boleh negotiate pada masa tindakan itu. Mungkin Puan sudah membaca langkah langkah tindakan undang undang sehingga proses keBankrapan tetapi saya ulangi disini sekali lagi sebagai panduan:

      Prosedur ringkas Tindakan undang undang

      1) Loyar menghantar Notis Tuntutan kepada peminjam meminta tunggakan memberi masa 14 hari atau menamatkan perjanjian

      2) Atas arahan Bank, jika tiada bayaran, Tuan Loyar akan menfailkan Saman di Mahkamah menuntut baki hutang. Dalam Writ Saman ini ada Notis Tuntutan yang memperincikan segala baki, faedah dan kos yang dituntut.

      3) Selepas mendapat meterai dan pengesahan Mahkamah, Writ Saman ini akan disampaikan secara kediri atau melalui pos kepada Peminjam dialamat yang terakhir yang ada dalam rekod Bank. Biasanya pendengaran kes akan ditetapkan dalam masa 14 hari dari tarikh Writ atau penyampaian itu. Peminjam perlu mendaftarkan diri untuk hadir pada tarikh itu. kalau tidak pada hari itu Penghakiman Ingkar Tanpa Kehadiran akan dikeluarkan.

      4) Selepas itu Bank dan Tuan Loyar akan menunggu salinan Penghakiman yang telah dimeterai dan disahkan oleh Mahkamah

      5) Apabila salinan Penghakiman didapati, satu salinan akan dihantar kepada Peminjam

      6) Bank boleh melaksanakan Penghakiman dengan tindakan undang undang keatas Peminjam. Kalau lebih RM30 ribu, boleh buat Bankrapsi. Jika pindaan Akta Bankrapsi kepada Akta Insolvensi diluluskan, had ini dinaikan kepada RM50K

      Secara ringkasnya proses Kebankrapan adalah seperti berikut:

      1) Penghakiman (samada Penghakiman Ingkar atau yang lainnya) sudah dijatuhkan keatas peminjam (seperti diatas)

      2) Pemfailan Notis Kebankrapan. Pada waktu pemfailan tersebut jumlah baki hutang, faedah dan kos MESTILAH tidak kurang dari RM30,000

      3) Notis ini mesti diserahkan secara kediri (personal service) kepada Penghutang Penghakiman. Cubaan serahan adalah sebanyak TIGA kali. Jika gagal, Bank boleh membuat permohonan untuk membuat Penyampaian Ganti melalui Akhbar Tempatan, Penampalan Notis di Papan Notis Mahkamah dan juga Surat Berdaftar. Kalau tak dapat personal service dan perlu kepada permohonan Penyampaian Ganti, ini akan memakan masa lagi 1 – 3 bulan.

      4) Selepas 6 (Enam) bulan tempoh serahan berlaku tanpa ada apa apa bantahan/perbincangan dari Penghutang Penghakiman, beliau sudah dikira telah melakukan tindakan Kebankrapan. Selepas itu Petisyen Pemiutang pula akan dikeluarkan dan diserahkan. Proses penyerahan adalah sama dengan proses Notis KeBankrapan.

      5) Suatu tarikh akan ditetapkan untuk mendengar kes Petisyen itu dan jika tiada bantahan dari Penghutang Penghakiman dengan alasan yang dikira menasabah, maka pada hari itu beliau akan diisytihar sebagai seorang Bankrap.

      Setelah Bankrap

      Seorang Bankrap perlu melapurkan diri ke Jabatan Insolvensi terdekat. Selepas melapur diri ke Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) dan mengisi borang borang yang diperlukan, Cik/Tuan/Puan boleh memohon untuk pelepasan semua akaun yang telah dibekukan, pengeluaran dan penutupan akaun dan memilih akaun mana yang hendak dikekalkan. Biasanya kita akan kekalkan akaun yang digunakan untuk kemasukan gaji. InsyaALLAH kebenaran akan diberi berdasarkan perbincangan dengan Pegawai Insolvensi. Berapa lama saya tidak boleh memberi kepastian cuma apabila melapur diri bawalah bukti bukti pendapatan dan perbelanjaan yang lengkap supaya boleh dipastikan berapa jumlah yang mampu dibayar setiap bulan kepada Jabatan Insolvensi.

      Untuk seseorang Bankrap melapurkan kepada JIM, lebih banyak maklumat peribadi akan ditanya berbanding dengan pinjaman biasa. Ini adalah kerana perbelanjaan anak anak (tempat tinggal, sara hidup,pembelajaran, bas sekolah jika ada) boleh dimasukkan kedalam Kos Sara Hidup seorang Bankrap. Sebahagian kecil perbelanjaan untuk ibu bapa yang telah uzur juga dibenarkan. Jika seorang Bankrap melapurkan diri kepada JIM dan membuat bayaran bulanan, beliau mungkin boleh mendapat kebenaran untuk menggunakan Kad Kredit (had RM1000) dan juga boleh memiliki kereta (mungkin kereta lama) dengan nilai tidak melebihi RM5K untuk kegunaan keluarga. Tapi harus diingat,kenalah mendapat kebenaran JIM.

      Jadi, lebih ramai anak dan tanggungan , jumlah yang Cik/Tuan/Puan perlu bayar kepada JIM akan berkurangan. Kadang kadang Cik/Tuan/Puan mungkin hanya diminta membayar RM50 sebulan. Jauh lebih murah dari ansuran bulanan pinjaman peribadi Cik/Tuan/Puan, kan?

      Dalam perkara memindahkan hakmilik rumah atas nama bersama, ia tidak dibenarkan dalam Akta Kebankrapan dan segala pemindahan dalam masa 2 tahun sebelum dari tarikh Bankrap akan terbatal. Lagipun jumlah nilai rumah dengan hutang Bank mungkin tidak mencukupi untuk “cover” hutang keseluruhan. Budi bicara Pegawai Insolvensi amat diperlukan pada ketika melapurkan diri supaya tidak melelong rumah tersebut lagipun atas nama bersama. Bagi Bank Bank yang lain, mereka hanya perlu menfailkan “Proof of Debt” iaitu bukti keberhutangan siBankrap kepada JIM dan jumlah ini akan dikumpulkan sebagai jumlah yang terhutang.

      Bagi si Bankrap:

      (a) Masih boleh bekerja seperti biasa atau berniaga asalkan tidak mendaftar sebagai pengarah, rakan kongsi atau pemilik tunggal. (ramai yang berniaga “online” atau berniaga atas “proxy” atau nama orang lain.

      (b) Masih boleh mempunyai akaun Bank (satu sahaja). Pihak Jabatan Insolvensi akan mengeluarkan surat kebenaran untuk mebuka akaun dengan mana mana Bank atau memberi arahan untuk membuka semula akaun yang telah dibekukan akibat Banrupsi.

      (c) Tidak boleh keluar negara tanpa kebenaran Jabatan Insolvensi.

      (d) Boleh memiliki kereta yang bernilai RM5,000 kebawah

      (e) Boleh menggunakan Kad Kredit dengan had RM1,000 (ada ke Bank nak bagi Kad Kredit, ada kut sebab ada peruntukan mengenainya)

      (e) Yang utama sekali, Tuan/Puan tidak lagi akan diganggu oleh Bank atau Agensi Pengutip Hutang.

      Puan boleh baca disini tentang pengalaman seseorang yang telah dikenakan tindakan KeBankrapan:

      http://www.ceritahutangbankdananda.com/2016/09/perkongsian-seorang-bankrap/