BAHAGIAN 5 – BAHAGIAN KUTIPAN HUTANG 11 Comments


Semasa saya “muda muda” dulu, saya merasa kagum apabila pertama kali menjejakkan kaki kedalam Bank. Sebelum itu cuma melihat “transaksi” Bank Simpanan Pejabat Pos yang tak nampak glamer dengan tempat yang sempit dan bercampur baur dengan transaksi setem, “Money Order” dan “Postal Order”. Bila nengok kaunter Bank dan kerani kerani dibarisan hadapan dan dibelakang mereka ada “pegawai” atau “pengurus” yang nampak rilek sahaja macam takde kerja dan sekali sekala akan “menyain” voucher yang diberikan oleh kerani lalu hati saya terdetik “kalau dapat kerja kat Bank bagus jugak, kerja senang, glamer pulak tu, saham bagus” sehinggalah ditakdirkan saya dapat bekerja disuatu institusi kewangan bertaraf “pegawai” dan bertali leher tapi gaji separuh dari kerani. Masa itu baru tahu disebalik “pintu depan” kerani kaunter dan pegawai kat belakang tu ada ruang yang lebih luas dan “macam macam ada” dan diantara bahagian yang ada ialah bahagian kutipan hutang dan kerjanya bukanlah “senang” seperti yang dijangka.

Jadi, sebelum kita lihat prosedur prosedur kutipan hutang, molek juga kalau kita jengok sekejap kakitangan bahagian kutipan hutang, iaitu “geng jahat” sektor Perbankan selain dari “Ayahanda” Bank itu sendiri yang mencipta wang atas angin dan mengenakan faedah/RIBA keatasnya merupakan “penipuan dan sihir terbesar” zaman ini yang telah diterima dan di”redhoi” oleh kebanyakan masyarakat dunia. Tanggungjawab mereka ialah memastikan pinjaman termasuk RIBA dibayar supaya “enjin” Bank terus hidup.

Jangan salah sangka ya. Saya tidak berniat untuk memburuk burukkan profesion kutipan hutang ni. Saya pernah bekerja disini suatu masa dahulu. Masih ada lagi kawan kawan saya yang bekerja di Bank. Jika anda kenal mereka, anda akan dapati mereka adalah orang baik baik. Jikalau anda menjadi jiran mereka, anda hanya tahu mereka “bekerja di Bank” tanpa mengetahui dibahagian mana mereka bekerja. Mungkin juga mereka adalah “jiran contoh” dikawasan anda. Hakikatnya, mereka hanya menjalankan tugas mereka tetapi “sifat” pekerjaan mereka memberikan persepsi negatif. Itupun sebab peminjam yang tak bayar hutang Bank. Kalau semua orang bayar cun cun, tak perlu pun ada bahagian ni.

Anda mungkin musykil mengapa tiba tiba saya membela mereka. Seperti juga sistem Perbankan berasaskan RIBA, “keburukan” bahagian kutipan hutang ini adalah kerana “acuan” atau “rekabentuk”nya yang datang dari “pakej” penindasan akibat RIBA. Setiap manusia juga mempunyai beberapa “pakej” yang berlainan dari segi perangai dan kelakuan, jadi sudah semestinyalah akan ada kakitangan kutipan hutang yang mempunyai ciri ciri sadis yang suka melihat penderitaan orang lain dan ada juga yang menjadikan kutipan hutang terhadap beberapa peminjam sebagai sesuatu yang bersifat peribadi.

Para peminjam pun tak kalah juga, ada bermacam “pakej” dan kadang kadang mereka pula yang menjadikan hidup kakitangan pengutip hutang huru hara. Seperti yang saya katakan didalam artikel pertama, saya hanya memberikan “gelanggang” yang lebih adil walaupun ada diantara anda (Bank lah tu) yang kurang bersetuju atas “inisiatif” saya ini. Untuk memberikan sedikit rasional kepada “inisiatif” ini, saya bagi satu contoh iaitu pernahkah anda menonton video atau membaca artikel berkenaan suatu perbuatan jenayah yang dilakukan dengan harapan memberi maklumat tentang tatacara atau “modus operandi” sesuatu jenayah itu manakala pada masa yang sama ditakuti para penjenayah atau orang yang baru belajar nak buat jahat boleh belajar beberapa perkara baru? Ada sedikit persamaan tetapi persamaannya berakhir disitu. Ada beberapa undang undang dan peraturan yang diperuntukkan bagi melindungi hak kedua dua penghutang dan pemiutang. Ada juga diantara para pemiutang dan penghutang yang telah mencabuli peruntukan peruntukan sistem ini dan dalam proses pencabulan ini telah menzalimi mereka yang tidak bersalah atau yang “betul bendul” walaupun ia bukan merupakan kesalahan mereka sepenuhnya.

Inilah “dilema”nya. Nak cerita ke tak nak cerita tapi pada saya lebih baik cerita sebab ia akan membawa lebih banyak kebaikan. Jika anda lihat grafik dibawah, peminjam yang mempunyai pengetahuan tidak sewenang wenangnya boleh dibuli oleh pengutip hutang:

 

BEZATAHUTAKTAHUMALAYx

Dalam sesi latihan asas kakitangan kutipan hutang, antara “fakta” yang diajar adalah ciri ciri perangai dan tabiat peminjam dan hubungannya dengan potensi mendapatkan balik bayaran hutang. Ia agak mudah difahami seperti yag ditunjukkan dibawah:

 

collectionratingMALAY

Kita akan lihat secara ringkas setiap klasifikasi seperti berikut:

1) MAMPU DAN NAK BAYAR – Spesis penghutang yang menjadi idaman dan impian setiap Bank atau Pemiutang. Tapi ia hanyalah impian sahaja kerana bukan semua penghutang macam ni. Kalau semua penghutang macam ni, bahagian kutipan hutang takde kerja pulak. Ini adalah diantara mereka yang “berbelanja mengikut kemampuan” dan akan sentiasa memastikan bayaran bulanan yang tepat pada masanya. Sekurangnya kurangnya selagi tiada malapetaka kewangan yang mengganggu kitaran kewangan mereka.

2) MAMPU TAPI TAK NAK BAYAR (Jenis 1) – Kumpulan mamalia yang biasanya “berbelanja melebihi kemampuan” tetapi mempunyai sedikit pengetahuan asas tentang prosedur kutipan hutang dan sangat gemar akan kehidupan ala “stuntman”. Mereka tahu had tunggakan yang akan dikenakan tindakan undang undang. Kebanyakan dari mereka mengimbangi perbelanjaan selain dari bayaran pinjaman. Akan tetapi golongan ini tidak memberi banyak masalah. Cuma memerlukan pemantauan berkala dan tindakan undang undang yang “manja” seperti surat tuntutan bayaran dari peguam (Notice of Demand atau Letter of Demand) apabila perlu.

3) MAMPU TAPI TAK NAK BAYAR (Jenis 2 ) – Hampir sama dengan jenis 1 diatas tetapi agak “kelabu” dan samar samar dengan prosedur tindakan undang undang. Mungkin akibat tertekan dengan permainan “pusing pusing” belanja mengakibatkan pemikiran yang tidak berapa stabil atau memang “blur” secara semulajadi. Mudah di untuk diberi tekanan untuk membayar tunggakan hutang dengan tekanan “manja” juga (gempaq sikit sikit) atau “sedikit berat” iaitu tindakan undang undang.

4) TAK MAMPU TAPI NAK BAYAR – Spesis yang “terlajak berbelanja melebihi kemampuan” tetapi mempunyai “niat untuk membayar” pada “masa yang sesuai”. Mereka mempunyai kepercayaan bahawa keadaan ekonomi mereka akan bertambah baik dengan kenaikan gaji tahunan dan “suatu hari nanti” akan berupaya menyelesaikan masalah hutang mereka. Mereka tidak sedar bahawa sistem berasaskan hutang dan RIBA inilah yang meyebabkan susut nilai wang kertas dan kehilangan kuasa beli. Jadi impian untuk menyelesaikan masalah ini tidak akan kesampaian melainkan menambah stok hutang lagi. Tunggakan masih boleh diselesaikan dengan meng”gempaq” untuk mengambil tindakan undang undang atau mengambil tindakan undang undang “betul betul” dan bukan “cobaan”.

5) TAK MAMPU DAN TAK NAK BAYAR (Jenis 1) – Golongan yang telah mendapat “ijazah” dalam bidang “berbelanja dan berhutang sesuka hati” tetapi masih berupaya mendapat pinjaman berdasarkan “rekod bayaran terdahulu” yang agak baik (belum bau busuk lagi) ataupun berdasarkan teknologi “know who” ataupun melalui kecuaian dalam proses pinjaman. Sebahagian dari golongan ini mempunyai “pengalaman yang luas” dalam tindakan undang undang yang telah dikenakan keatas mereka. Kes sebegini memerlukan tindakan undang undang dan penguatkuasaan Penghakiman yang telah didapati dari Mahkamah.

6) TAK MAMPU DAN TAK NAK BAYAR (Jenis 2) – Kumpulan ini biasanya (ada yang ok) menggunakan dokumen yang “non standard” atau “bukan mengikut kebiasaan” (“standard” disini maksudnya slip gaji, Borang EA, Borang J dan sebagainya) iaitu buku simpanan Bank, buku pelaburan ASB atau ASN , Geran tanah (Rezab Melayu) dan lain lain dokumen “sokongan”. Ada yang merupakan petani dan pengusaha padi yang berpendapatan bermusim. Ada juga yang menggunakan khidmat “penjual dokumen” (mereka ini bagus, sekarang lebih canggih lagi) untuk “menerbitkan” dokumen pinjaman atau dalam ertikata lain, penipuan.

Pada masa membuat pinjaman, adalah sukar untuk mengetahui siapa mereka sebenarnya kalau menengok pada peribadi mithali yang ditunjukkan semasa membuat pinjaman. Kita hanya akan mengetahui bahawa ramai diantara mereka sebenarnya berasal dari Kampung Dusun dan bernama “Syarif Dol” apabila pinjaman tidak berbayar dan tindakan undang undang diambil keatas mereka seperti mengambil kembali kereta misalnya yang mana secara tiba tiba beberapa nama timangan seperti “Naga”,”Taiko” “Pak Long” atau “kawan kepada sepupu Pak Long” yang menunjukkan “kedudukan” mereka dalam masyarakat. Sesuatu yang menyemakkan kepala dan kadang kadang tak berbaloi untuk di”kejar”. Bank sebenarnya boleh buat pinjaman baru berkali ganda dari deposit yang dia ada, cipta duit baru dan kenakan faedah/RIBA dan boleh “cover” hutang busuk ni beberapa kali ganda.

Sila ambil perhatian bahawa senarai diatas hanyalah contoh dari beberapa kombinasi kemungkinan yang ada. Jadi, pegawai dan kerani bahagian kutipan hutang mempunyai tatacara kerja yang seragam atau adakah ia begitu? Tidak juga, kerana kerja pengutipan hutang ini bukanlah mudah dan tak ramai yang menyukainya. Tapi ada juga yang suka bergaduh hari hari dengan peminjam untuk melepaskan tension tapi tak ramai la. Setiap hari akan ada “peluang” untuk “beramas mesra” dengan peminjam, ada yang kecik dan ada yang bergaduh besar terutamanya apabila kereta ditarik balik atau tindakan undang undang telah dikenakan.

Kadang kadang satu kampung datang buat kecoh di Bank. Oleh itu , keupayaan berpidato dan berdebat amat penting bagi kakitangan bahagian kutipan hutang. Kemahiran “menuding jari” dan “tai chi” (iaitu “menolak” sesuatu dengan perlahan lahan seperti senaman taichi) sangat mustahak pada ketika kereta ditarik balik. Pegawai yang bertugas boleh berpura pura sama sama “terkejut beruk” kereta telah ditarik balik kerana dia “tidak tahu menahu” surat arahan penarikan balik kereta telah dikeluarkan dan sepantas kilat menuduh “Head Office” atau “Ibu Pejabat” yang mengeluarkan surat arahan tersebut (jarang sangat peminjam atau penghutang akan menghubungi Ibu Pejabat kerana tak tahu nak cakap dengan siapa pun) iaitu “suspek utama” yang mencetak arahan penarikan balik. Kalaulah printer boleh bercakap, gerenti kantoi sebab dia yang print surat tu. Kemahiran ini memerlukan latihan dan ia adalah selari dengan pengalaman.

Ini adalah contoh beberapa ekspresi muka “sama sama terkejut beruk” seperti yang diceritakan:

shockedMALAY

 

Jadi, pengutipan hutang adalah satu seni, tiada peraturan yang terlampau ketat atau skrip yang khusus, cuma menyesuaikan personaliti seseorang itu dengan prosedur prosedur yang telah ditetapkan. Dua orang pegawai pengutip hutang boleh mencapai matlamat yang sama dengan menggunakan pendekatan yang berbeza sama sekali. Kadangkala dalam sesetengah kes, kombinasi dua pegawai atau kerani pengutip hutang diperlukan untuk menjayakan “sketsa” kutipan hutang seperti yang diceritakan diatas.

Adegan “Orang Baik dan Orang Jahat” seperti “Good Cop Bad Cop Routine” dan adegan adegan lain yang layak memenangi anugerah Sri Angkasa untuk Pelakon Terbaik atau Anugerah Pelakon Paling Popular Berita Harian adalah sesuatu yang biasa dilakukan oleh mereka yang telah bekerja bersama sama untuk jangka masa yang lama. Yang paling utama sekali ialah adegan adegan ini adalah bersifat “Super Spontan” yang membuatkannya menjadi begitu meyakinkan. Kadang kadang kita berharap adegan sedemikian dapat dirakamkan untuk ditonton berkali kali untuk hiburan atau boleh juga dijadikan sebagai alat latihan.

Pengutipan hutang juga melibatkan kerja penyiasatan jadi daya analisa yang tajam amat diperlukan. Anda perlu mengumpulkan dan meneliti petunjuk petunjuk dan bahan “bukti” yang anda kumpul sendiri atau yang dikumpulkan oleh rakan anda yang mungkin tidak menepati “piawai” anda yang tinggi. Jikalau anda ada bakat merubah suara macam Datuk Jamali Shadat, anda mempunyai kelebihan yang luarbiasa untuk membuat penyiasatan melalui telefon untuk mendapat maklumat. Kemahiran menguasai pelbagai bahasa dan dialek atau loghat tempatan juga adalah suatu kelebihan. Senang cerita, pengutipan hutang bukan untuk yang lemah semangat dan bukan semua boleh melakukannya. Mungkin kita akan membuat beberapa adegan “lakonan semula” dan ciri ciri penyiasatan ala ala “CSI” di post yang lain.

Selain dari itu, para pengutip hutang juga harus menjadi pendengar yang baik dan sentiasa bersedia menjadi “kaunselor perkahwinan” dan “pakar motivasi”. Ini adalah kerana ada dikalangan penghutang akan datang kepejabat untuk “mencurahkan perasaan” samada secara berseorangan atau berdua suami isteri. Selalunya berkenaan masalah mengapa mereka gagal membayar tunggakan (dengar aje le, kita pun tak tahu betul ke berlakon. Diaorang pun pandai juga main game perasaan nih) Biasanya setelah mendengar dengan penuh simpati, tidak banyak yang boleh dilakukan kerana yang penting lapuran prestasi kutipan hutang setiap hujung bulan. Jadi antara jawapan “rasmi” atau “standard” ialah “Tiada apa yang boleh saya lakukan kerana ini adalah arahan dari “Head Office” dan Tuan/Puan kena usaha cari wang dari sumber lain untuk mengelakkan masalah yang lebih teruk”. Kadang kadang saya rasa borang permohonan pinjaman perlu ada ruangan untuk tahap kesihatan peminjam termasuk lapuran kesihatan mental seperti yang ada pada borang Insuran Kesihatan. Banyak masa boleh dijimatkan untuk mengenalpasti peminjam yang bakal bermasalah.

Jadi itulah serba sedikit kerja sebagai pengutip hutang professional. Bayangkan kena buat semua tu sambil mengambilkira agar tidak mencemarkan reputasi majikan tersayang (Bank la tu), lepas tu balik rumah jadi Mak atau Bapak mithali dan esoknya buat benda yang sama lagi. Kadang kadang dalam kepala pegawai atau kerani pengutip hutang ni teringin jugak nak masuk bahagian pinjaman oleh kerana ia lebih “menyeronokkan” sebab boleh lepak lepak dengan pengedar kereta dan jentera, sembang “happy happy” dengan pelanggan yang semuanya “baik baik” belaka.

Kadangkala untuk “mengambil hati” dan “create good rapport” atau mengujudkan hubungan “abang alik” dengan pengedar kereta atau jentera yang menjadi salah satu punca bisnes Bank, kena pulak “happy happy” dan ber”gumbira” dengan diaorang. Tengok bola sama sama, “Kalaoke” pun sama sama kira memang “kam cheng” betullah. Akan tetapi, setiap kerani atau pegawai yang memproses pinjaman juga ada “target” bulanan masing masing dari segi pengeluaran jumlah pinjaman dan kadangkala dalam kekalutan mencapai target dan akibat “kemesraan” yang telah terjalin dengan pengedar kereta dan jentera, boleh membawa masalah dan mengaburkan pandangan dan pertimbangan yang waras lalu boleh menjurus kepada me”rekomen”kan kes kes “berat nanang” atau kes “atas pagar dan terlompat pagar” yang akhirnya menjadi kes “masuk longkang”. Ini selalu menjadi isu diantara bahagian kutipan hutang dan bahagian pinjaman.

Kadang kadang pulak pertukaran kakitangan berlaku jadi peranan masing masing berubah. Jadi masing masing boleh “merasa” suasana bekerja di “seberang sana” dan menjadi suatu kepuasan kepada kakitangan bahagian kutipan hutang, yang tukang “buat loan” kena kutip sendiri pinjaman yang dia rekomen yang dah “masuk longkang”

Geng geng “collection” pulak akan lepak lepak dengan tukang tarik kereta dan lawyer tapi tukang tarik kereta dan lawyer yang selalu belanja. Sebabnya tukang tarik kereta nakkan “surat tarik” samada yang “kacang puteh” (yang senang) tapi harga standard atau yang upah mahal iaitu kereta “wanted” jadi boleh pilih “lauk” yang best best dulu. Bagi lawyer pulak, sekali sekala datang jengok jengok nak ushar kes baru atau nak mintak bayaran bagi kes kes lama yang dah buat yang dah bertahun Bank tak bayar, yang sudah menjadi kebiasaan dalam industri Perbankan dengan slogan “Arahan Didahulukan, Bayaran Dikemudiankan” . Biasanya Bos Bos lah yang Lawyer belanja sebab dia yang pegang “kuasa” nak bayar. Macai macai kalau ada rezeki dan “nasib baik” akan diajak tumpang sekaki.

Sebelum kita pergi ke tatacara terperinci proses kutipan hutang bagi setiap jenis hutang isirumah, bagus juga kalau kita lihat pecahan pecahannya dari segi persamaan dan perbezaan langkah langkah tindakan undang undang untuk memberikan anda persediaan mental untuk menghadapinya.

Bagi kategori tunggakan 1 hingga 3 bulan biasanya akan ditangani oleh kerani atau pegawai Bank kerana tugas ini agak “senang”. Tak payah angkat punggung, angkat telefon aje dan gunakan “kemahiran berkomunikasi”. Tugas ini selalunya diberi kepada kerani atau pegawai baru untuk “mengasah bakat” mereka dengan beberapa teknik “gempaq”, pujuk rayu dan kelentong “hidup hidup”.

Bagi hutang kereta dan hartanah seperti rumah, beberapa peraturan berjadual perlu dipatuhi selaras dengan peruntukan undang undang seperti Akta Sewa Beli 1967 (pindaan terbaru 2012) dan Kanun Tanah Negara selain dari prosedur tindakan undang undang yang biasa seperti pengeluaran Surat Tuntutan, memfailkan Saman dan Pelaksanaan Penghakiman.

Pinjaman kereta dan rumah dikategorikan sebagai “pinjaman bercagar” kerana kedua duanya akan digunakan sebagai cagaran bagi pinjaman tersebut. Bagi pinjaman peribadi dan kad kredit, ia dikategorikan sebagai pinjaman “tanpa cagaran” yang mana cagarannya ialah “keupayaan” peminjam membayar balik pinjaman atas dasar “kekuatan” pendapatan mereka melalui dokumen sokongan yang diberikan semasa permohonan. Ada yang mempunyai “sokongan” tambahan seperti penjamin (sesuatu yang bagus atau “lauk” yang sedap untuk digunakan untuk memaksa peminjam membuat bayaran) akan tetapi dengan bertambahnya kes kebankrapan melibatkan penjamin yang selalunya tidak dapat apa apa dari pinjaman tersebut selain dari “memikul biawak hidup”, ramai yang dah serik atau enggan menjadi penjamin.

Untuk hutang hutang yang “kurang upaya separa tenat” dan “kurang upaya dah nazak”, ia akan memerlukan lebih dari panggilan telefon dan surat menyurat. Lawatan untuk berjumpa dengan peminjam adalah perlu untuk tujuan penyiasatan dan sebagai “alat” tambahan untuk “memaksa” peminjam membuat bayaran. Tujuan utamanya ialah membawa ancaman tindakan undang undang dengan lebih dekat dan “personal” berbanding dengan panggilan telefon yang biasanya digunakan untuk peminjam yang “lemah” dan pada masa yang sama teknik lawatan ini boleh membesarkan ke”malu”an peminjam dengan rakan sekerja atau jiran jiran menjurus kepada peminjam terpaksa mencari sumber kewangan untuk megelakkan dari mendapat ke”malu”an yang lebih besar.

Persoalannya siapakah yang paling sesuai untuk tugas ini? Setiap Bank mempunyai polisi yang berbeza berkenaan dengan hal ini. Ada yang mempunyai “unit khas lawatan” dan ada yang mengarahkan pegawai atau kerani yang sama untuk membuat segala galanya dari panggilan telefon, cetak surat peringatan, bertekak (err.. berbincang) dengan peminjam dan membuat lawatan susulan. Ada yang “sub-con” atau mengupah Agensi Kutipan Hutang untuk mengutip hutang berdasarkan komisen dan ada yang menjual hutang pada harga diskaun biasanya yang termasuk dalam kategori “hutang lapuk” kerana pegawai dan kerani pengutip hutang mungkin ada “banyak kerja lain” untuk melayani hutang yang masih aktif dan hidup atau telah menjadi “lembik” dengan suhu yang semakin panas akibat pemanasan global. Lagipun akaun dah “meninggal” atau dah jadi “zombie kampung pisang”, jadi bagilah orang lain cuba kutip.

Itulah dia sedutan kisah hidup kumpulan pengutip hutang di Bank. Mereka tidak boleh disamakan dengan geng Agensi Pengutip Hutang kerana geng Agensi Pengutip Hutang tidak menjalani latihan yang sama dengan latihan yang diberi oleh Bank. Agensi Kutipan Hutang bukan firma guaman dan bukan peguam walaupun nama bunyinya macam firma peguam seperti “Syarif Dol Partners & Co”, Tee Poo Kuat & Associates dan banyak lagi nama nama macam firma lawyer. Apa yang mereka boleh buat ialah mengacau peminjam melalui panggilan telefon dan membuat lawatan ketempat kerja dan rumah peminjam dan membuat “bising” bagi menaikkan ke”malu”an peminjam .

Apa yang mereka berjaya kutip adalah “gaji” mereka dan ini kita faham tetapi cara pendekatan sesetengah mereka yang agak melampau menjadi persoalan. Terlampau banyak aduan yang telah diterima berkenaan Agensi Agensi ini tetapi ia masih berleluasa. Industri kutipan hutang adalah suatu industri yang bernilai berBILLION Ringgit dan adalah agak susah untuk memastikan setiap dari mereka mematuhi peraturan kerana inilah “senjata” yang paling ampuh untuk mendapatkan bayaran iaitu gangguan emosi dan membesarkan ke”malu”an peminjam yang buta undang undang. Lagi lama atau “berkarat” pinjaman itu “lagi bagus” kerana faedah/RIBA akan mencecah jumlah yang tinggi terutamanya hutang Kad Kredit sehingga boleh mencecah ratusan ribu ringgit bagi baki hutang asal yang kurang dai RM10,000.

Muslihat yang utama ialah menawarkan “diskaun luarbiasa” dan “terlajak pemurah” sehingga 90% (macam Court Mammoth pulak) atas jumlah besar hutang. Memanglah kalau hutang asal 2,000 dan faedah/RIBA 100,000, pada kadar diskaun 90%, Agensi masih lagi untung giler dengan hanya berbekalkan panggilan telefon dan lawatan beberapa kali ke pejabat atau rumah. Itulah sebabnya masyarakat yang berhutang perlu diberi pendedahan tentang hak mereka dan pada masa yang sama perlu bertanggungjawab keatas hutang yang mereka ambil.

Dalam pada itu, ada Bank yang tidak melakukan proses kutipan hutang dengan sempurna dan telah “melepaskan” hak mereka untuk mengutip hutang pada julat masa yang ditetapkan dan sekali lagi “taichi” pada Agensi Pengutip Hutang dengan harapan kalau “untung sabut timbul” dengan menjejaki peminjam yang ghaib setelah sekian lama melalui teknologi terkini dan “barua” pemberi maklumat (nanti kita cerita lebih lanjut) dan kalau peminjam “buta undang undang”, mungkin akan membuat bayaran kepada hutang yang pada segi undang undang mereka tidak perlu membayar apa apa lagi walaupun dari segi moralnya mereka masih terhutang.

Teknik “taici” kepada Agensi Kutipan Hutang juga “bagus” bagi Bank untuk mengekalkan imej “profesional” dan “baik” kerana kalau ada Agensi Kutipan Hutang yang “buat taik” atau melanggar etika dalam pendekatan kutipan hutang mereka, adalah mudah untuk Bank menyingkirkan mereka (ingat lagi muka “terkejut beruk” kat atas?) atas alasan tidak mematuhi piawaian Bank dan seterusnya mengambil Agensi yang lain. Peminjam akan merasa lega kerana aduan dan rungutannya di”dengar” oleh pihak Bank tapi tak lama lah. Lepas tu ada orang lain pulak yang akan telefon. Bak kata omputeh “Lifes Goes On”.

Kita akan bincangkan dengan lebih terperinci Akta Had Masa 1953 berkaitan kutipan hutang pada masa akan datang kerana ia memerlukan huraian dan tajuk yang khas.

TAMAT BAHAGIAN 5

AKAN DATANG – PROSEDUR KUTIPAN HUTANG PERIBADI

BAHAGIAN TERDAHULU

Bahagian 4

https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/29/bahagian-4-jenis-jenis-tunggakan-hutang/

Bahagian 3

https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/29/bahagian-3-jenis-jenis-hutang-isirumah/

Bahagian 2

https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/27/bahagian-2-jenis-jenis-peminjam/

Bahagian 1

https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/26/bank-dan-agensi-pengutip-hutang-kutipan-hutang-semasa-dan-hutang-lapuk/


Leave a Reply / Masukkan Komen Anda

11 thoughts on “BAHAGIAN 5 – BAHAGIAN KUTIPAN HUTANG

  • Hamdan mat yaakub

    Assalamualaikum..
    Sy hamdan nk tnya psl tunggakan loan bsn.loan tu sy dpt akhr thn 2010 sbyk 20k bulanan sbyk rm500 slama 5thn.skrg tunggakn sy dh jd rm9500 bsn srh sy settle cash xmau skit2..jd skrg lawyer pn dh dtg rmh n bngkel sy bg th nk sita klu sy xbyr tunggakn tu.kete,bngkel n brg2 dlm rumah semua ats nama isteri sy.sy nk minta pndapat tuan ape yg patut sy buat.tq

    • Abu Ammar

      Wa’alaikumussalam

      Pertama tama sekali kita kena tahu:

      1) Lawyer tak pergi rumah orang tengok tengok barang nak sita. Lawyer pergi Mahkamah melainkan jalan jalan melawat kawan kawan atau tengok orang sakit atau balik rumah mak bapak dia
      2) Nak Sita barang barang kena ada yang berikut:

      (a) Penghakiman Ingkar atas nama Tuan
      (b) Writ Penyitaan dari Mahkamah
      (c) Ada Bailiff yang mewakili Mahkamah datang kerumah
      (d) Bank dah buat “homework” yang tempat yang nak disita kepunyaan Tuan kalau tidak akan jadi masalah nak buktikan harta nak disita milik peminjam.

      Tuan mungkin sudah membaca atikel tentang Jenis Jenis Tindakan Undang Undang jadi tak perlu saya ulang lagi disini. Tambahan lagi:

      (a) Kereta kalau masih ada hutang adalah kepunyaan Bank. Tak boleh nak sita. Kalau Tuan Bankrap dan kereta atas nama Tuan dan harga kereta melebihi baki (jarang dapat zaman sekarang melainkan baki tinggal sikit) maka baru berbaloi nak lelong. Jadi tidak timbul nak sita kereta disini.
      (b) Rumah atau Bengkel pun sama. Bank yang punya selagi ada hutang. Sama macam (a)
      (c) Hutang Tuan adalah Personal Loan dan dari jumlah yang Tuan katakan faedahnya adalah pada kadar tahunan sebanyak 10% setahun dan denda lewat mungkin dalam 8% (biasanya, kena tengok perjanjian) jadi untuk memBankrapkan Tuan, memakan masa yang lama iaitu untuk mencecah RM30K

      Oleh itu yang datang rumah Tuan adalah Agen Pengutip Hutang ataupun Pegawai BSN bahagian kutipan hutang tapi kalau “menyamar” jadi “lawyer” tu biasanya Agen Pengutip Hutang. Lain kali minta “Certificate of Practice” dia. Kalau takde report polis (macam Abang KIPIDAP) sebab cuba menipu. Namun begitu, Tuan perlu juga tahu pada tahap mana tindakan undang undang yang telah dilakukan oleh BSN samada mereka sudah menghantar Writ Saman atau mendapat Penghakiman kerana mengikut jumlah tunggakan, tunggakan ansuran sekurang kurangnya sudah 20 bulan. Samada Tuan bertanya pada BSN atau buat carian sendiri di CTOS. Pergi ke laman web ini http://www.ctos.com.my/CTOSHOME/selfcheck.html dan daftar. Tuan mungkin kena sediakan salian IC yang telah di”scan” depan belakang untuk pengesahan dan dihantar kepada mereka. Dari situ Tuan boleh tahu status tindakan undang undang yang telah diambil.

      Soalan lanjutan:

      1) Adakah alamat sekarang berbeza dengan alamat semasa memohon pinjaman? Kalau tak sama mungkin surat surat dari BSN tidak sampai termasuk surat saman dan sebagainya.
      2) Pernah memohon penstrukturan semula pinjaman melalui AKPK? Boleh cuba memohon, manalah tahu boleh dapat kelonggaran dari segi ansuran bergantung kepada tindakan undang undang

      Cuba dapatkan maklumat lanjut dan boleh post semula disini

      P/S Sesiapa saja yang merasakan blog ini memberi manfaat, sila like Facebook Page https://www.facebook.com/pages/Cerita-Hutang-Debt-Tales/323566051134931?ref=aymt_homepage_panel sebagai tanda sokongan dan dapat memberi “reach” yang lebih luas. Tekan juga butang “Follow” by email supaya boleh diberitahu tentang apa apa maklumat baru dimasa hadapan. Terima kasih

      • Hamdan mat yaakub

        Nota:

        Ini post sebelum ini di CeritaHutang Facebook page:

        Ms dia dtg rmh bg th lawyer dtg naik moto je..ms sy ada kt kg cuti skolah dia dtg bngkel bg th nk sita klu xbyr s’ketul.mlm 2 jnj nk jmp pas2 dia xjd lak.lps 2 sy g bsn tny cmne diorg srh byr 5k dlu mn nk cr duit 5k dlm ms sngkt.bln lps pengutip htang bg th 7500 pas2 awl bln 6 sy tny dh naik 9500..htang ada lg 12k pgawai bsn bg th nk kuar surat sita dh klu xdpt byr gak.nma syrkt semu dh nma isteri sy.sy mmg xde pape dh.

        Dan ini:

        Xth nk buat cmne srbt dgn pngutip htang ckp nk sita.klu dh th cara cmne nk atasi ok la xde la tkt sb pnjmin kkak sy ksisn kt dia klu sy xbyr

        Sambungan dalam blog:

        Almt mmg berbeza tp surat ada gak smp kt bngkel sy xbaca.sy dh g akpk skrg tgh tggu bsn bg detail baki loan sy ada brp.td pngutip htang ada call bg th srh byr sparuh dlu sy ckp xde duit skrg tgh tggu pggln dr bsn utk amik surat detail 2 htr ke akpk.xslp sy pgawai bsn ckp tunggakn 12bln @14bln cm2 la sy lupa dgn jmlh rm9500 smp bln jun.baki pnjmn yg ada lbh krg 12k cm2 la.sblm ni sy dh mtk utk rndh kn byrn bulanan pas2 bsn ckp kn byr rm1100 br dpt krg kn pas2 sy pn trs byr la rm1100 tp sy kna tipu sb staf bsn yg ln call bg th xleh byr bulanan rndh sj diorg nk srh sy byr rm1100.ms sy buat loan intrest 15%.skrg pengutip htang 2 ugut nk sita rmh n bngkel sdg kn sy dh xde pape dh semua ats nma isteri sy.

        • Abu Ammar

          Tuan

          Ms dia dtg rmh bg th lawyer dtg naik moto je..

          Saya dah kata Lawyer pergi Mahkamah tak pergi rumah orang. Kalau dia tu “process server” iaitu orang yang menghantar Saman, Notis Kebankrapan, Petisyen Pemiutang dan lain lain dokumen Mahkamah, itu memang dari PEJABAT Lawyer. Walaubagaimanapun, Tuan cuba selesaikan dengan AKPK dan tak payah layan Bill Collector tu lagi.

          Sementara tu cuba check CTOS sebab nak tahu apa tindakan undang undang sekarang.Dapat result post balik kat sini.

      • ridzwan

        Assalam Tuan,

        Saya sekarang sedang menghadapi masalah menyelesaikan hutang kad kredit sebanyak RM 7700 (Maybank) kerana telah tidak bekerja tetap. Buat masa ini berkhidmat sebagai “freelance”, kasi pagi makan pagi kais petang makan petang macam tulah.
        Some background…..
        Selepas beberapa bulan tidak bekerja dan akaun masih lagi cantik saya telah pergi ke pejabat Maybank di KLCC dan bertanyakan kalau hutang kad kredit boleh ditukar kepada term loan, pegawai yg bertugas pada masa itu memberitahu saya bahawa tidak boleh kerana bayaran masih cantik lagi, kalau nak tak perlu bayar sehingga hutang tu jadi NPL lepas tu baru boleh nego untuk convert kepada “term loan”. Saya pun percaya bulat-bulat (bodoh betul!) dan buat seperti yang disuruh. Sampai masanya disuruh bayar saya memang tidak mampu pada masa itu tetapi telah diberitahu saya boleh membuat surat rayuan (haritu hari Khamis, emel surat hari Jumaat). Pada hari Isnin saya telah menerima talifon daripada Bayorlah Yop Partners (maaf, kena tukar buat masa ni) dan memaksa saya untuk menjelaskan kesemuanya. Saya menghubungi pihak bank untuk renegotiate dan juga meminta pendapat mengenai agensi pengutip hutang mereka dan juga meminta pihak bank agar membuat arahan kepada Bayorlah Yop Partners untuk tidak menganggu saya lagi. Pihak bank telah menyuruh saya berjumpa dengan Bayorlah Yop Partners dan disebabkan desakan dan kebodohan saya, saya telah bersetuju untuk membayar RM 2700 sebagai bayaran untuk berhentikan tindakan undang-undang dan juga sebagai syarat untuk Bayorlah Yop Partners mengemukakan cadangan penstrukturan pembayaran balik kepada pihak bank. Salinan pembayaran telah saya emailkan kepada collection department dan juga surat rayuan untuk penstrukturan pinjaman telah dihantar bersama dengan resit pembayaran.

        Selang 2 hari Bayorlah Yop Partners menalifon saya sekali lagi bertanyakan bagimana saya nak “settlekan” hutang. Walhal saya masih menunggu jawapan daripada pihak bank. Saya kemudian telah menalifon pihak bank , dan beliau serta merta mengatakan bahawa permohonan saya telah ditolak. Selang 2 hari baru saya dapat jawapan bertulis dari pihak bank dan menyuruh saya menyelesaikan hutang sepenuhnya dalam masa lebih kurang 2 hari.

        Nasib baik sebelum tu saya dah membuat permohonan di AKPK dan telah diluluskan.

        Didalam jawapan bertulis dari pihak bank, alamat penuh rumah saya ada tertera di surat, dan salinan kepada Bayorlah Yop Partners (sblm ni mamat dekat Bayorlah Yop Partners berkali -kali tanya alamat rumah tapi saya kata kalau nak tanya bank. Di pun dgn sombong jawab dia boleh je mintak bank).

        Apabila orang Bayorlah Yop Partners ni talifon saya pun beritahulah yang saya sudah membuat permohonan di AKPK dan telah pun lulus. Apabila diberitahu begitu, meraka seolah -olah tidak berpuas hati (ni pasal komisen tak dapat kot) dan bertanya macamana saya boleh lulus sedangkan saya tak bekerja. Dia mintalah account number AKPK, tapi saya cakap dgn dia akaun tu hanya adalah selpas 10 hari pembayaran di AKPK, tetapi dia tak berpuas hati (hari Jumaat 23/10/2015). Pada hari ini 25/10/2015, 2 orang berbangsa india telah datang kerumah saya untuk bertanyakan hal ini. Disebabkan hal ini saya telah membuat aduan kepada pihak polis terhadap:

        1. 2 lelaki berbangsa India yang datang ke rumah tanpa waran ataupun dokumen-dokumen yang sahih yang membolehkan mereka datang ke rumah
        2. pegawai bank yang bertugas kerana telah memberi alamat saya kepada mereka ini

        Tujuan saya menulis ialah utk bertanya (untuk mendapat kepastian):

        1. Akta yang mengatakan bahawa agensi pengutip hutang tidak boleh:
        a) membuat panggilan talifon lebih daripada 3 kali dalam seminggu
        b) datang kerumah

        2. Saya tidak berapa arif mengenai BAFIA act 1989, adakah boleh alamat persendirian kita diberikan kepada agensi pengutip hutang

        3. Bagaimanakah cara aduan yang terbaik, kerana saya sedang memikirkan untuk membuat salinan report kepada Bank Negara terhadap pegawai bank tersebut (rasanya dia ni dah kawtim dgn budak india tuh)

        Saya berharap tuan dapat memberikan saya lebih penjelasan dari segi Akta perundangan dan cara yang terbaik untuk mengendali hal ini. Kerana saya harap perkara ni jadi pengajaran bagi mereka yang cuba menakut-nakutkan orang kita sampai ada yang meninggal dunia keran terlampau stress.

        terima kasih

        • Abu Ammar

          Wa’alaikumussalam Tuan Ridzwan

          Dalam bab ini tiada Akta tetapi Garis Panduan dan Saluran Aduan yang telah ditetapkan oleh Bank Negara. Namun begitu, pihak orang ramai tidak dimaklumkan tentang adanya Garis Panduan ini secara meluas yang menyebabkan rami tidak mengetahui langsung tentangnya hinggalah hari ini. Saya telah mengulas dengan panjang lebar tentang perkara ini dalam artikel artikel saya yang mungkin Tuan sudah pun membacanya. Tapi saya bagi jugak linknya disini:

          TENTANG TEMBERANG AGEN PENGUTIP HUTANG

          BAHAGIAN 1

          http://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2015/10/02/pendedahan-eksklusif-bahagian-1-cerita-agen-pengutip-hutang-debt-collection-agency/

          BAHAGIAN 2

          http://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2015/10/05/pendedahan-eksklusif-bahagian-2-cerita-agen-pengutip-hutang-debt-collection-agency/

          BAHAGIAN 3

          http://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2015/10/08/bahagian-akhir-pendedahan-eksklusif-cerita-agen-pengutip-hutang-debt-collection-agency/

          Boleh juga ke page http://www.facebook.com/ceritahutang

          Bank Negara membenarkan Bank Bank melantik Agensi Pengutip Hutang tetapi mesti mematuhi syarat syarat dan Garis Panduan yang ditetapkan. Berkenaan dengan alamat Tuan yang diberikan, ia termasuk dalam skop yang dibenarkan tetapi pendedahan kepada pihak lain sama sekali tidak dibenarkan.

          Masalah ini juga menjadi perdebatan kerana adanya Personal Data Protection Act tetapi ada klausa klausa yang memberikan kelonggaran dalam hal ini di Akta Akta yang lain seperti BAFIA dan yang lain lain yang disebutkan dalam Garis Panduan tersebut. Membuat lawatan tidak menjadi masalah asalkan tidak menjurus kepada intimidasi dan mereka tidak boleh berada terlalu lama dirumah dan kena beredar jika diminta berbuat demikian. Mereka tidak boleh berbuat apa apa terhadap Tuan jika Tuan tidak mahu membayar apa apa. Yang boleh mengambil tindakan undang undang ialah Bank sahaja.

          Saya tidak mahu mengulas tentang pegawai yang didakwa “kawtim” dengan Agen kerana besar kemungkinan urusan kutipan diserahkan sepenuhnya kepada Agen. Namun begitu, jika AKPK telah meluluskan permohonan Tuan, Agen TIDAK BOLEH mengganggu Tuan lagi seperti yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Bank Negara. Mereka tidak ada hak untuk mempersoalkan perkara ini.

          Memandangkan Bank ada alamat terkini Tuan dan jika Tuan gagal membuat pembayaran seperti yang telah dipersetujui bersama antara AKPK dan Bank, Bank boleh mengambil tindakan undang undang semula dan disini Tuan perlu bersedia:

          1) Apabila menerima Notis Tuntutan Loyar
          2) Apabila menerima Writ Saman. SANGAT SANGAT MUSTAHAK untuk menentang Notis Tuntutan dalam Writ Saman kerana biasanya Bank dan Loyar akan memohon untuk mengekalkan kadar faedah Kad Kredit yang tinggi walaupun atas jumlah Penghakiman yang sepatutnya hanya 5% sahaja. Bila dapat Writ Saman, sila rujuk semula kepada saya dengan SEGERA.

          Berkenaan dengan aduan rasmi, salurkan aduan ke Bank terbabit dan cc copyke Bank Negara atau download Borang Aduan dan Borang yang saya sediakan untuk tujuan aduan. Lampirkan juga salinan repot polis yang telah dibuat.

          • ridzwan

            Tuan Abu Ammar,

            Terima kasih dia atas penjelasan tuan. Saya telah pun menghubungi pihak Maybank, walaupun tidak berjaya menghubungi pegawai yang mengendalikan kes saya tetapi saya telah memberitahu kepada rakan sekerjanya untuk menyampaikan pesan kepadanya supaya segera memberitahu tahu agen pengutip hutang yang urusan saya dengan pihak bank telah diambil alih oleh AKPK. Saya juga memberitahu kepada pegawai tersebut bahawa saya telah membuat aduan polis terhadap dua lelaki pengutip hutang itu kerana menceroboh masuk tanpa kebenaran. Pihak security condo telah membuat aduan bahawa mereka telah cuba untuk membuat kacau dan ingkar atas arahan phiak security. Ini kerana sebelum kejadian ini berlaku, saya telah menghantar email kepada pihak Maybank yang mengatakan urusan tersebut telah diambil alih oleh pihak AKPK. Tetapi malangnya, tiada tindakan daripada pegawai Maybank terbabit untuk memberitahu kepada agen pengutip hutang.

            Buat masa ini alhamdulillah tiada gangguan tersebut tetapi jika ada gangguan lagi saya akan adukan perkara ini kepada bank tersebut dan cc kepada Bank Negara.
            Didalam proses ini, saya tidak dimaklumkan bahawa kes ini akan diberikan kepada agen pengutip hutang. Tiada notis bertulis diberikan dan juga tiada notis reminder. Itu yang membuat saya terkejut kerana sebelum ini saya ada membuat perbincangan dengan pihak bank untuk convert kepada term loan tetapi dalam masa menunggu jawapan kes in telah diberikan kepada agen pengutip hutang. Didalam jawapn bertulis, Pegawai bank tersebut telah membalas permohonan saya dengan surat bertulis, bertarikh 16/10/2015 dan saya perlu langsaikan sepenuhnya pada 23/10/2015. Tetapi emailnya bertarikh 21/10/2015. Pada saya benda ni dah tak betul, dia ni nak cuba dapatkan sesuatu ke atau ada muslihat.

            Saya berharap, perkongsian saya ini dapat memberi faedah kepada semua penghutang yang macam saya, ingin membayar tetapi keadaan pada waktu ini tidak mengizinkan.

            Terima kasih lagi tuan kerana memberi penjelasan secara terperinci, dan jika saya ada masalah akan saya hubungi tuan dengan segera.