BAHAGIAN 3 – JENIS JENIS HUTANG ISIRUMAH



Hutang hutang isirumah terbahagi kepada beberapa kategori utama:

1)      Hutang rumah
2)      Hutang kereta
3)      Hutang Kad Kredit
4)      Hutang Peribadi
5)      Hutang Perabut dan Kelengkapan Rumah Hutang

 
Pembelian rumah dan kereta adalah hutang hutang yang utama bagi sesuatu isirumah yang mungkin boleh difahami untuk populasi yang agak “muda”. Tarikan faedah/riba yang “menarik” atau rendah telah “melunakkan” tekanan harga rumah dan kereta yang telah melambung tinggi sejak beberapa tahun yang lalu dan harga yang tinggi bagi kedua dua keperluan utama ini akan menurunkan permintaan dan sudah tentu tidak bagus untuk ekonomi. Rakyat Malaysia telah “menikmati” kadar pinjaman yang rendah sejak sekian lama yang secara langsung telah menyumbang kepada gelembung hutang isirumah yang tinggi.

debttrain

 

Hutang Kad Kredit adalah “hutang sampingan” (pada mulanya) untuk membeli minyak kereta,  barang barang runcit, ayam dan sayur kat supermarket kerana pendapatan (dari gaji) sudah tidak mencukupi akibat kenaikan harga barang yang mendadak semenjak awal tahun 2014. Sudah semestinya ada juga yang menggunakan Kad Kredit secara tidak bertangungjawab dengan ber”shopping” sakan dan pada masa yang sama sedang menempah bala. Hutang Peribadi pula digunakan untuk modal perniagaan untuk menambah pendapatan atau untuk “menimbus” hutang hutang yang sudah berselerak macam tahi burung atas jalan. Hutang peribadi juga digunakan untuk majlis pertunangan “glamer” dan perkahwinan “glamer” demi “menjaga” hati jiran jiran dan orang kampong supaya tidak “tersinggung” dengan majlis pertunangan dan perkahwinan yang “ala kadar” sahaja. Ini juga menempah bala apatah lagi kalau suami isteri ada pulak pinjaman PTPTN semasa belajar dulu.  Selepas kahwin, pinjaman perabut dan barang barang letrik pulak boleh didapati dengan mudah kerana syarikat syarikat seperti Courts Mammoth, Aeon Kredit dan Seng Heng begitu “bermurah hati” memberi pinjaman dengan tawaran seperti “tiga bulan baru bayar”, “raya dulu, bayar kemudian” dan seumpamanya dengan kadar faedah kad kredit dan denda lewat bayar yang membinasa.

 
COURTSMAMOTH

 
Jadi itulah dia. Beberapa jenis hutang dalam timbunan hutang isirumah. Maafkan saya kerana mukaddimah yang panjang tetapi ia adalah perlu untuk memberi kefahaman tentang jenis hutang yang terlibat dan anda akan nampak rasionalnya sealiran dengan tajuk “Agensi Pengutip Hutang – Pengutipan Hutang Semasa dan Hutang Lapuk”. Jadi diharap anda bersabar sedikit. Dengan segala macam tanggungan bayaran bulanan, ada yang ok dengan pendapatan semasa, ada yang “ngam ngam” yang kira ok juga tapi ramai yang terpaksa main “pusing pusing” dengan pendapatan mereka atau masa mereka untuk mendapatkan lebih pendapatan melalui perniagaan atau kerja part time. Ada yang melakukan proses “bunuh diri” kewangan dengan menggunakan “cash advance” kad kredit untuk bayar hutang lain atau bermain “silang bayaran” dengan bayaran hutang bulanan mereka (bulan ni “ponteng” bayar hutang rumah, tapi bayar hutang kereta, lepas tu “ponteng” bayar hutang kereta bayar hutang rumah pulak dan seterusnya) jadi mereka sentiasa berada di “jurang bahaya” dari segi tindakan undang undang. Kalau semuanya stabil yang mana semua barang dan perkhidmatan yang biasa kita beli berada pada harga yang “tetap” dengan tiada perubahan ketara, kira oklah tu.

 
Akan tetapi kita hidup dalam sistem ekonomi yang berasaskan hutang yang mana inflasi adalah suatu “kewajipan” sejajar dengan “pertumbuhan” ekonomi. Kebergantungan kepada Dolar Amerika sebagai rizab matawang utama menambahkan lagi kedudukan “telur dihujung  tanduk” kerana ia adalah hanya “khayalan” nilai yang boleh lingkup pada bila bila masa. Didalam negeri, kerajaan yang mempunyai timbunan hutang tidak mempunyai “pilihan” selain dari mengurangkan subsidi barangan asas terutamanya “petrol” untuk kekal dalam “rating” dan “carta” yang baik dari badan badan pelaburan asing. Pengurangan subsidi minyak dan bahan api akan menjurus kepada kenaikan harga barangan, perkhidmatan dan tariff elektrik kerana kebanyakan kos perniagaan melibatkan bahan api petroleum. Kesannya kepada perbelanjaan bulanan akan memberikan tekanan “maut” kepada pembayaran ansuran hutang bulanan yang akhirnya menjadi hutang yang tidak berbayar. Bagi yang berada dalam kategori “Saya OK jer” dan “Setakat ni takde masalah” akan juga merasa bahangnya. Yang masuk dalam karung “Saya tak mampu, tapi nak jugak” pada masa ini sudah pun berada dalam jurang tunggakan yang hampir mustahil untuk diselamatkan.

 
aquariumMALAY

 

ULANGKAJI BAHAGIAN SEBELUM INI

 

BAHAGIAN 4  – JENIS JENIS TUNGGAKAN HUTANG

 
https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/29/bahagian-4-jenis-jenis-tunggakan-hutang/

 

Bahagian 2

 
https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/27/bahagian-2-jenis-jenis-peminjam/

 

Bahagian 1

 
https://www.ceritahutangbankdananda.com/index.php/2014/06/26/bank-dan-agensi-pengutip-hutang-kutipan-hutang-semasa-dan-hutang-lapuk/

Leave a Reply / Masukkan Komen Anda