Pengenalan Blog


Selamat datang ke blog Cerita Hutang: Bank dan Anda.  Cerita tentang hutang. Antara “Berhutang Untuk Hidup” dan “Hidup Untuk Berhutang”. Cerita sedih, lucu, kadangkala menyeramkan dan banyak lagi cerita tentang hutang. Belengu dan kitaran hutang yang tidak berkesudahan. Cerita tentang taktik pengutipan hutang oleh Bank. Taktik melarikan diri dari membayar hutang Bank oleh peminjam (selalunya kantoi sebab tak boleh padam rekod dalam komputer) dan juga taktik menipu untuk mendapatkan pinjaman juga akan dibincangkan sebagai panduan dan tauladan untuk semua pihak supaya lebih berhati hati dimasa hadapan. Perkataan “Bank” disini merangkumi semua institusi kewangan, koperasi, dan syarikat kredit memandangkan hampir semua pembiayaan boleh dikesan salasilahnya ke Bank.  Blog ini akan memfokuskan tentang hutang dari sudut proses pemberian hutang dan pengutipan hutang dan proses undang  undang yang melibatkan peminjam dan juga Bank.  Secara khususnya, maklumat dan perkongsian pengalaman dari blog ini menjurus kepada merapatkan “jurang perbezaan” diantara Bank dan para penghutang dalam konteks memberi kefahaman kepada pelbagai jenis hutang dan “bala” yang seangkatan dengannya. Ia juga bertujuan untuk memberi sedikit “kekuatan” kepada para penghutang dalam menghadapi Bank Bank yang “perkasa” apabila mengalami masalah pembayaran balik hutang. Jadi tidaklah mudah untuk di “gempaq gempur” sewenang wenangnya oleh sesetengah kakitangan Bank sehingga perkerjaan dan keluarga menjadi tunggang langgang yang akhirnya memburukkan lagi keadaan yang sudah pun  huru hara seadanya.
 
Adalah diharap blog ini memberi faedah kepada individu individu berikut:
 

  • 1)    Mereka yang berhutang dan membayar ansuran seperti biasa, tetapi masih ingin tahu dan sebenarnya perlu tahu
  • 2)    Mereka yang berhutang tetapi tidak boleh membayar secara tetap dan tidak tahu apa yang hendak dibuat apabila berlaku tunggakan yang banyak
  • 3)    Mereka yang berhutang, tidak mahu membayar ansuran dan memikirkan untuk mengamalkan ilmu “ghaib” atau sudah pun “ghaib”
  • 4)    “Teruna” atau “Perawan Hutang” iaitu yang masih memikirkan samada hendak berhutang untuk bertunang, kahwin, membeli kereta, rumah dan “penghormatan” memiliki kad kredit. Kategori ini juga termasuk yang sudah pun mempunyai pinjaman PTPTN kerana dikira masih “Dara” dan “Teruna” kerana tak masuk senarai CCRIS lagi)
  • 5)    Para pegawai dan kerani Bank bahagian kutipan hutang terutamanya yang masih baru berkecimpung dalam bidang ini. Ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian supaya tidak “terlepas pandang” . Juga beberapa kesilapan yang mungkin boleh menyebabkan penghutang “bebas” dari membayar hutang.

 
Mengapa baru sekarang? Sebabnya kita sedang menghampiri krisis kemelesetan ekonomi. Dalam era teknologi maklumat masa kini, anda mungkin sudah sedar atau terbaca atau sedang mengikuti perkembangan ekonomi semasa dan sudah pasti dapat merasai tanda tanda kemelesetan ekonomi sekarang. Situasi ini mungkin boleh dikiaskan dengan situasi seorang ibu yang bakal bersalin (Minta maaf para ibu, analoginya agak bertepatan dengan situasi ini walaupun “kesakitan” melahirkan memang tidak akan sama dengan “kesakitan” krisis ekonomi tetapi masih “menyakitkan”). Seorang ibu akan mengalami beberapa “contraction” atau kontraksi sebelum “contraction” tersebut menjadi lebih kerap sehingga kelahiran berlaku. Dalam konteks ekonomi semasa, “contraction” atau pengecutan ekonomi sudah lama berlaku dan sudah menjadi semakin kerap yang akhirnya akan “terberanak”lah kemelesetan ekonomi dan kita pelu bersedia untuk “menyambut”nya dan bersedia untuknya.

Dalam kehidupan, selalunya ada dua situasi dalam satu keadaan seperti duit syiling yang mempunyai dua permukaan. Bagi sesebuah  Bank, akan ada bahagian Pengurusan Pinjaman dan Bahagian Pengutipan Hutang. Bahagian Pengurusan Pinjaman selalunya adalah tempat yang “ceria” untuk sebab sebab yang sedia maklum yang mana para peminjam dan pegawai pinjaman akan “beramah mesra”. Namun begitu, perkara yang sama tidak berlaku di Bahagian Pengutipan Hutang yang biasanya agak suram yang juga menyelubungi para pegawai dan kerani “collection”. Disinilah tempat pegawai kutipan hutang dan para penghutang “bertukar tukar” pendapat dan “berkongsi” lebih banyak kata kata yang kurang menyenangkan dan kadangkala tempat untuk bertegang urat setiap hari seolah olah rancangan promosi gusti WWE.

bankloanmalay350

Jika anda mempunyai hutang dengan Bank, Koperasi, Courts Mammoth dan yang sewaktu dengannya, anda perlu tahu selok belok tindakan undang undang yang boleh dikenakan keatas anda WALAUPUN sekarang anda rasa anda tidak ada masalah dalam pembayaran balik hutang kerana “so far so good”. Mungkin ada yang sudah merasai “bahang” nya dan sedang menghadapi masalah dengan Bank walaupun sebelum ini anda adalah peminjam yang “baik”. Ramai peminjam yang “baik” menjadi “tidak baik” di mata pihak Bank apabila krisis ekonomi berlaku (atau krisis ekonomi keluarga) oleh kerana tekanan ekonomi keluarga semasa krisis menjadi terlalu berat untuk ditanggung. Contoh yang terbaik ialah pada tahun 1997 dimana beribu ribu peminjam tidak dapat membayar pinjaman. Beribu ribu kenderaan ditarik balik, beribu ribu rumah dilelong, beribu lagi dikenakan tindakan kebankrapan dan beribu pula syarikat gulung tikar bahkan banyak Bank yang “meninggal” atau menjadi “zombie” sehingga di”hidupkan” semula beberapa bulan kemudian. Oleh itu pada saya sekurang kurangnya kita bersedia untuk menghadapi krisis ekonomi yang pasti mendatang dengan sedikit pengetahuan supaya kita tidak menjadi terlalu kalut untuk berfikir dengan waras.

Selain daripada membincangkan tatacara pengutipan hutang, kita juga akan melihat atau “mengusul” asal kejadian Bank Bank dan bagaimana operasi “silap mata” Bank Bank ini. Bagaimana mereka mendapat duit untuk memberi pinjaman, bagaimana Bank membuat banyak duit dan bagaimana Bank “mencipta” duit atas angin? Jikalau anda berpeluang menonton siri televisyen “Breaking the Magician’s Code: Magic’s Biggest Secrets Finally Revealed”, (Membongkar Kaedah Ahli Silap Mata: Rahsia Terbesar Silap Mata Akhirnya Didedahkan) ia lebih kurang begitulah dan sudah semestilah tanpa minah minah seksi lagi gedik tu. Ramai orang menyangkakan bahawa Bank Bank adalah gagah lagi perkasa dan kebal akan tetapi hakikat sebenarnya apabila anda mengetahui rahsia mereka, para Bank sebenarnya lemah yang boleh lingkup dalam masa beberapa hari atau jam sahaja. Seperti seekor “obor obor” yang hanya “gah” dalam air dan apabila dikeluarkan dari air, terus jadi lembik dan kecut. Dan dari anologi obor obor dan Bank ini, anda boleh agak siapa yang menjadi “air” untuk menampung hidup obor obor itu.

bankCODEMALAY400

Apa? Tak percaya ka? Lihat sahaja apa yang berlaku pada tahun 1997 semasa krisis kewangan Asia dan pada tahun 2008 semasa krisis gadaian “Subprime” di Amerika dan krisis perbankan dan hutang Negara Negara Eropah. Bank Bank jatuh berdebab meninggal macam lalat kena sembur “Baygon”. Yang tak meninggal terus jadi “zombie” cuba memakan mangsa baru tapi tak berjaya. Akhirnya Bank Bank ini mendapat bantuan kerajaan masing masing untuk dihidupkan semula menggunakan “silap mata” jugak yang memakan duit pembayar cukai. Amerika Syarikat yang paling “untung” sebab dia pakai duit orang satu dunia sebab hampir semua penduduk bumi “menanggung” duit Amerika secara sedar atau tidak, samada mereka suka atau tidak. Apa yang lebih teruk lagi, walaupun dalam situasi yang “normal”, jika semua pemegang akaun Bank mengeluarkan simpanan mereka pada MASA YANG SAMA (dipanggil “Bank Run”), Bank pun boleh “meninggal” jugak. Dengan maklumat ini, anda tidak akan melihat Bank dengan cara yang sama lagi dan anda akan rasa tertipu dan bengang atau anda mengharapkan anda yang mendapat lesen untuk menjadi Bank. “Along professional” yang berlesen. Banyak lagi cerita selepas ini.

Seperkara lagi, samada kita suka atau tidak, sedar atau tidak, berhutang dengan Bank dan Institusi Kewangan bererti kita menjebakkan diri kita dalam transaksi RIBA tidak kira samada yang “konvensional” atau “Islamik” yang mana RIBA (“faedah”, “bunga”, “kos pengurusan”, “perkongsian keuntungan”) samada yang tersembunyi atau sebaliknya adalah “dalang” atau “hantu” yang sebenarnya menjadi salah satu penyebab kemelesetan ekonomi. Dalam erti kata yang mudah, PERHAMBAAN KEWANGAN.  Sebagai contoh, kalau kita berhutang dengan seseorang, biasanya kita akan merasa terdorong untuk menurut kata kata orang yang memberi hutang kerana telah “terhutang budi” dan merasa malu dan serba salah apabila berjumpa dengannya selagi hutang tidak berbayar (kalau bukan jenis “hati kering” lah). Apatah lagi jika berhutang dengan Bank yang lengkap dengan surat perjanjian yang berjela jela yang berpotensi untuk merampas kereta, rumah dan membuatkan kita bankrap dan tidak berpeluang mengambil pinjaman lagi sebab nama dah masuk dalam komputer misalnya CCRIS, CTOS dan FIS.  Adalah diharapkan maklumat dan kisah kisah yang akan dikongsikan dalam blog ini akan memberi manfaat untuk melegakan sedikit “kensengsaraan” atau jika anda suka, “keseronokan” mempunyai beban hutang dan kesannya terhadap kos sara hidup kita semua. Jadi saya ulang sekali lagi, fokus blog adalah berkenaan dengan HUTANG dan komponen komponennya dikongsi dan “dibedah” dengan cara yang paling mudah difahami. (Saya harap begitulah)

Baiklah. Saya rasa matlamat blog ini sudah jelas. Kita boleh mula sekarang. Kadang kadang kita berasa takut dengan apa yang kita tidak faham atau apa yang kita tidak tahu. “Tak Kenal Maka Tak Cinta” itulah yang biasa diungkapkan berkenaan dengan kasih sayang sesama manusia . Perkara yang sama tak boleh dikatakan dalan bab HUTANG. Mungkin ungkapan “Cinta Pandang Pertama” lebih sesuai digunakan kerana “godaan” untuk berhutang di ”tambah kuah” oleh “tawaran istimewa” yang diberi bersama sama dengan hutang tersebut. Sebagai contoh, pada musim Hari Raya baru baru ini, ada syarikat penjual kereta yang menawarkan wang tunai RM2,500 dan pinjaman 100% untuk sebuah kereta yang merangkumi kos insuran untuk setahun. Tawaran pulak pada “teruna atau dara” hutang iaitu graduan baru keluar “U”.  “Jerat Percintaan Hutang” yang pertama.

offerkereta400

Namun begitu, tawaran sedemikian telah secara terang terangan melanggar Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan terakhir 2011) yang dirangka untuk memberi perlindungan kepada pengguna melainkan menggunakan “jalan belakang” iaitu memberikan “pinjaman peribadi” bagi membeli kereta tersebut atau hanya “silap mata” menunjukkan seolah olah cengkeram sekurang kurangnya 10% sudah dibayar dan dicatatkan dalam perjanjiian. Apa susah, semua boleh “adjust” hatta lesen palsu pun boleh disediakan. (rujuk berita disini http://www.hmetro.com.my/articles/Tiadalesendapatbelikereta/Article/)

Akan tetapi, memandangkan tawaran tersebut memberi “manfaat” kepada penghutang kerana mendapat  wang tunai dan kereta secara “percuma” hanya dengan menandatangani beberapa “dokumen” dan “menyumbang” kepada “ekonomi” dengan peningkatan jualan kereta dan juga “memantapkan” sektor kewangan, maka tawaran sedemikian mungkin telah “terlepas pandang”. Kenyataan atau realiti sebenar bahawa para penghutang ini telah hidup melampaui kemampuan akan terserlah apabila insuran kereta dan cukai jalan telah tamat tempoh pada tahun pertama dan perlu dibayar sendiri dengan nilai premium yang tinggi hasil daripada pinjaman 100% dan “duit bonus” yang sudah pun habis. Disinilah lagu lagu seperti “Sayang Semuanya Sudah Terlambat” atau “Putus Sudah Kasih Sayang” mungkin menjadi “lagu tema” mereka seharian. Sekiranya mereka memberikan lebih masa untuk diri mereka menganalisa beban yang bakal ditanggung , mereka akan berfikir berbelas belas kali sebelum “menyain” atau menurunkan tandatangan pada surat perjanjian hutang itu.  Apa tidaknya, dengan tempoh pinjaman 7 hingga 9 tahun  kereta mereka akan jadi “besi buruk” apabila habis tempoh pembayaran. Cubaan untuk menjual pada tahun pertama, kedua, ketiga, kelima dan seterusnya akan mendatangkan kerugian kerana baki hutang akan SENTIASA lebih tinggi dari harga kereta. Senario begini adalah salah satu dari beberapa contoh kelemahan membuat keputusan dan ada yang berkata kelemahan dalam merancang ekonomi keluarga. Ada pulak yang sedar bahawa mereka tidak mampu tetapi mereka tidak peduli kerana mereka berkata “Hidup hanya sekali” jadi enjoylah puas puas!

Perjanjian hutang selalunya berpihak kepada Bank, tapi biasanya peminjam jarang memikirkan risiko yang bakal ditempuhi dan tidak peduli untuk membaca terma terma yang ada dalam perjanjian hutang dan hanya akan mula membacanya apabila telah dikenakan tindakan undang undang untuk mencari “helah” atau “loophole” bagi melepaskan diri. Oleh itu, bagi seseorang peminjam, dia perlu tahu jenis pinjaman yang diambil, bagaimana struktur faedahnya, denda lewat bayar, hak hak peminjam dan Bank sehingga kepada tindakan undang undang yang boleh dikenakan keatasnya. Seandainya dia tahu, dia akan boleh berfikir dengan lebih tenang dan tidak perlu mengamalkan “ilmu ghaib’ sekiranya dia mempunyai masalah kewangan dan tak boleh membayar hutang.  Ini akan  menyenangkan pihak Bank untuk mengendalikan kesnya dan dia juga tidak boleh di”gempak” sewenang wenangnya oleh segelintir pegawai Bank yang memang suka menyakat untuk melepaskan tension. Jangan salahkan sangat “budak budak collection” ni, diaorang makan gaji je dan hanya “menjalankan tugas” kerana mereka sebenarnya mengendalikan beribu ribu akaun dan pada setiap hujung bulan, bos bos mereka akan meminta lapuran kejayaan mereka mengutip hutang dan bos bos mereka pulak “panas bontot” kena mengadap lembaga pengarah dengan soalan yang sama. Cuma ada dikalangan yang “fresh” menganggap collection ni suatu “permainan” tanpa mengambilkira perasaan atau sensitiviti peminjam dan kadangkala  tindakan mereka melampaui batas. Contoh contohnya banyak cuma akan dikongsikan di post yang lain.

Laman blog ini akan membuka ruang perbincangan kepada :

1)    Hutang Isi Rumah, NPL dan Bankrupsi

2)    Kitaran Hidup Berhutang

3)    Jenis jenis Hutang dan Jenis Jenis Peminjam

4)    Dari mana datangnya “duit” pemberi hutang anda iaitu Bank, Koperasi, Institusi Kewangan dan Lain Lain (AEON, Courts Mammoth);

5)    Apa itu “Faedah” atau“Bayaran Perkhidmatan”;

6)    Apa itu “Time Value of Money” (Nilai Wang Semasa dan Masa Hadapan);

7)    “Gempaq” Si Pengutip Hutang;

8)    Hak Peminjam dan Bank dalam  Pinjaman Sewa Beli;

9)    Pinjaman Sewa Beli. Apakah Rule 78?

10) “Keistimewaan” menjadi Penjamin

11) Prosedur pengutipan hutang dan tindakan undang undang oleh Bank bagi setiap jenis hutang;

12) Mana nak Settle dulu? (Kad Kredit, Sewa Beli, Pinjaman Peribadi, Pinjaman Perumahan)

13) Agensi Pengutip Hutang (Collection Agency)

14) AKPK dan Jabatan Insolvensi

15) Dan lain lain isu berbangkit (mungkin mengganggu turutan diatas)

Harus diingat saya bukanlah “pakar” dalam hal yang tersebut diatas. Cuma seorang tua yang mempunyai sekelumit pengalaman dalam bidang mengutip hutang suatu masa dahulu dan juga belajar dari UOL. Bukan United Orix Leasing tapi University of Life (Universiti Kehidupan) yang mana pengalaman hidup yang sebenar jauh lebih berharga dari teori teori yang didapati di kolej dan universiti .  Pada zaman saya bekerja dulu, teknologi tidaklah begitu canggih seperti hari ini. Kami menggunakan PC versi klon IBM dan “floppy disk” 5.25 inci seperti ini:

pcxt_malay400

Report akan dibuat menggunakan “Lotus 123” dan PC ni takde hard disk, jadi kena “save” dalam floppy disk 5.25 inci. Bila klik butang “save” , siap boleh keluar minum air dan borak borak dulu. Balik opis pun belum siap “save” lagi, itulah yang dialami hari hari.

binders

Rekod pelanggan pula menggunakan “printed ledger” untuk dibuat rujukan dan disimpan didalam “binder” besi.  Bila ada resit bayaran diterima, rekod bayaran akan di “potong” dengan pen di ledger dan kiraan “denda lewat bayar” akan dibuat dan dicatit secara manual. Takde macam sekarang, main tekan kat computer je semua keluar. Kalau tanya budak budak Bank sekarang, entah tahu entah tidak cara nak kira “late charges” dan “full settlement”. Kalau sesiapa ada kesempatan minta “full settlement”, cuba sakat budak budak tu explain dari mana dapat kiraan tu. Ada yang hijau muka nanti. Bukanlah takda computer canggih masa tu tapi jenis “mainframe” tahap gaban yang ada kat ibu pejabat.

Handphone paling canggih pun masa tu ialah yang ini:

ericsson%20old%20mobile

Kalau tengok telefon ini boleh agaklah zaman bila saya kerja. Walaupun zaman dah berubah, teknik mengutip hutang tetap sama. “Kitaran kewangan” yang turun naik tidak banyak berubah walaupun menjadi bertambah buruk pada setiap kitaran. Kitarannya adalah begini:

econ_cyclemalay300

Tumpuan kitaran ekonomi ini adalah apa yang berlaku kepada Bank dan para pelanggannya oleh kerana ramai yang mempunyai simpanan atau hutang didalam Bank dan apa yang berlaku kepada Bank sudah tentu akan melibatkan mereka. Jika anda hendak tahu lebih lanjut tentang kesan yang penuh atau faktor faktor penyebab krisis ekonomi seperi KDNK, hutang isirumah, dana dan pelabur asing, anda boleh layari di Internet. Ada banyak bahan rujukan. Apahal pun, ia akan melibatkan Bank dan para pelanggannya. Apa yang penting disini ialah pada tahun 1997 krisis ekonomi berlaku akibat manipulasi matawang dan pada masa itu nisbah hutang isirumah dengan KDNK adalah rendah berbanding sekarang nisbahnya melebihi 80% (mungkin lebih tinggi) berjumlah RM800,000,000,000 (RM800 billion). Dolar Amerika sudah sampai ke penhujung hayatnya dan Negara China sedang merancang untuk menyandarkan matawangnya kepada emas. Dengan kemungkinan ujudnya perang yang dirancang, bayangkan betapa besarnya impak krisis ekonomi yang mendatang. Anda fikir hutang isirumah berjumlah RM800 billion akan dibayar? Sudah tentu tidak dan sebab itu kita perlu bersedia. Bersedia untuk berjimat cermat dengan apa saja yang kita ada dan bersedia juga untuk disaman jika anda tidak berupaya membayar hutang Bank anda pada masa itu. Apa yang menarik disini, harga barang tetap akan naik pada SETIAP kitaran walaupun kadarnya berbeza manakala “nombor” gaji anda tak berapa nak “naik”. Kalau naik pun, ia tidak mampu mengejar kadar inflasi. Hujan saja yang sentiasa turun. Kenapa agaknya ya?

Prosedur undang undang pun tak banyak berubah. Lawyer pulak yang semakin ramai. Dengan kecanggihan teknologi sekarang, “personal touch” masih lagi teknik yang paling berkesan untuk mengutip hutang dan komunikasi  adalah sangat penting bagi kedua dua belah pihak. Mengamalkan “ilmu ghaib” dan tidak mengetahui apa tindakan undang undang yang sedang berlangsung terhadap anda bukanlah suatu tindakan yang bijak. Ia bakal menghantui anda pada masa akan datang kerana rekod hutang TIDAK AKAN dipadamkan. Jadi adalah lebih baik “mengaku salah”, kurangkan kerugian dan hadapi kenyataan kerana tiada siapa yang meletakkan pistol dikepala anda semasa anda membuat pinjaman. Ramai yang akan mengaku “jahil” tetapi “kejahilan” bukan suatu alasan dalam bab hutang ni. Anda wajib tahu kerana anda mungkin menyesal seumur hidup kerana “malas” nak ambil tahu.

Fuh! Panjang juga mukaddimah  ni. Saya mengalu alukan maklum balas dan perkongsian pengalaman dari Ex-Banker, Banker Semasa dan juga para para peminjam yang sedang menghadapi masalah pembayaran, yang sedang dikenakan tindakan undang undang dan juga yang sedang mengamalkan ilmu “ghaib”. Terima kasih kerana sudi membaca sampai pada tahap ini di ruang pengenalan blog ini.

AKAN DATANG: Hutang Isirumah, NPL (Hutang Tak Terbayar) dan Bankrupsi

Leave a Reply / Masukkan Komen Anda